Berita Hiburan
WHAM sifatkan pemergian Raja Nurfatimah kehilangan besar dunia kewartawanan
KUALA LUMPUR 23 Jun – Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) menyifatkan pemergian Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian, Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar sebagai satu kehilangan besar dalam dunia kewartawanan tanah air.
Dalam satu kenyataan, WHAM berkata pemergian mengejut Allahyarham memberi kesan mendalam kepada insan seni yang pernah mendapat sentuhan profesional dan keprihatinannya sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam bidang kewartawanan.
“Allahyarham bukan sekadar pelapor berita, malah menjadi penggerak yang menyemarakkan dunia hiburan tanah air. Sentuhannya banyak membantu menaikkan nama-nama baharu dalam industri seni, terutama artis muda yang masih bertatih dan kemudiannya berjaya menempa nama besar hasil sokongan dan kepercayaannya terhadap bakat mereka,” menurut kenyataan itu.
Allahyarham yang juga Bendahari WHAM dikenali sebagai wartawan berdedikasi dan berjiwa halus, serta menulis dengan prinsip etika tinggi dan kasih mendalam terhadap seni.
“Beliau menjadikan pena dan platform media sebagai wadah memperjuangkan kelangsungan industri hiburan tanah air dengan pendekatan mendidik, menyokong dan menghargai karyawan seni dari semua lapisan,” katanya.
Hubungan akrab Allahyarham dengan seniman dan penggiat seni merentas generasi turut menjadikan dirinya figura dihormati, disayangi dan diyakini dalam kalangan rakan wartawan serta pemain industri hiburan.
Sebagai Bendahari WHAM, Allahyarham turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelbagai program kebajikan dan solidariti seni termasuk kempen bantuan kepada artis veteran serta program apresiasi buat penggiat seni tanah air.
Presiden WHAM, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang amat dirasai dan sukar diganti.
“Beliau sangat aktif dan sentiasa menyumbang idea sehingga ke penghujung hayatnya. Kali terakhir kami berjumpa pada 17 Jun lalu dalam majlis makan malam WHAM bersama FINAS di ibu negara.
“Beliau bukan sahaja bendahari yang bertanggungjawab, malah sahabat seperjuangan saya sejak awal era 1990-an. Beliau sentiasa berada di sisi, bukan hanya ketika kami memerlukan, tetapi juga apabila orang lain memerlukan.
“Salah satu impian kami adalah menunaikan ibadah haji bersama tahun ini, tetapi kekangan tugas menyebabkan kami menangguhkannya ke 2026,” katanya.
Semalam, Allahyarham Raja Nurfatimah dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang selepas mengadu sakit dan sesak nafas kira-kira jam 2 petang.
Jenazah dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, jam 10 pagi tadi. – Media Telus.
Berita berkaitan
March 16, 2026, 10:58 am
Aedy Ashraf ambil risiko besar terbitkan Tarung: Unforgiven
February 4, 2026, 10:52 am
Tarian penonton cetus kontroversi, penganjur Makar Fest XL tampil mohon maaf terbuka
January 27, 2026, 12:33 pm
Nora Ariffin tarik balik tuntutan cerai, pilih teruskan perkahwinan
January 23, 2026, 9:15 am
Fazura umum bersara daripada drama televisyen tempatan
January 20, 2026, 10:22 am
Brooklyn Beckham putus hubungan dengan keluarga, dakwa membesar dalam pembohongan
January 14, 2026, 2:42 pm
Filem ‘Ozora’ angkat kisah benar penganiayaan David Ozora di Jakarta
December 28, 2025, 4:39 pm
Rasa seperti renjatan elektrik di dada ketika latihan - Remy Ishak
December 18, 2025, 11:58 am
Kamal Adli tetap pertahankan rumah tangga, enggan buat kenyataan di luar mahkamah
December 12, 2025, 11:22 am
Sissy Imann sah bergelar isteri Dr Zamir Hilman dalam majlis akad nikah di Putrajaya
December 2, 2025, 6:30 pm
