Berita Politik
Hishammuddin kekal enggan rayu penggantungan, pertahan prinsip dan keadilan

KUALA LUMPUR 1 Julai - Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, membayangkan beliau kekal dengan pendiriannya untuk tidak merayu penggantungan keahlian walaupun diberi ruang berbuat demikian oleh parti.
Ahli Parlimen Sembrong itu mendakwa beliau tidak dimaklumkan secara rasmi, termasuk melalui surat, mengenai sebab sebenar penggantungannya selama enam tahun yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 27 Januari 2023.
“Saya tak rayu kerana tidak diadili sebaiknya dan saya enggan gadaikan prinsip saya pegang… ini bukan soal keahlian atau kedudukan tetapi soal prinsip, integriti dan keadilan saya pegang,” katanya menerusi satu video di Instagram.
Hishammuddin juga berkata beliau tidak pernah dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin Umno sebelum keputusan penggantungan dibuat.
Beliau mengulas keputusan mesyuarat MKT baru-baru ini yang memaklumkan mana-mana ahli dikenakan tindakan disiplin dibenarkan mengemukakan rayuan, selaras dengan Perlembagaan Umno Fasal 20.12.
Hishammuddin bagaimanapun mempersoalkan tindakan kepimpinan parti yang kini menekankan aspek prosedur, sedangkan proses penggantungannya sebelum ini didakwa tidak mengikut tatacara sewajarnya.
Umno Bahagian Sembrong sebelum ini meluluskan usul supaya Hishammuddin diterima semula sebagai ahli, dan Ketua Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi, ketika merasmikan mesyuarat bahagian itu, berjanji membawa usul berkenaan ke perhatian kepimpinan tertinggi parti.
Untuk rekod, Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun pada Januari 2023 atas dakwaan melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti, namun tanpa penjelasan terperinci.
Pada Disember tahun lalu, timbul gesaan agar Hishammuddin kembali kepada Umno selepas penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, ditarik balik oleh MKT.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini dilaporkan berkata parti terbuka menerima semula Hishammuddin, namun beliau perlu mencontohi Tajuddin yang membuat rayuan secara rasmi.
Bagaimanapun, Hishammuddin tetap bertegas untuk tidak merayu kerana tidak mengetahui sebab sebenar keahliannya digantung. – Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm