TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Shahril kekal dengan keputusan enggan rayu penggantungan keahlian UMNO

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Julai – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, tetap dengan pendiriannya untuk tidak membuat rayuan terhadap penggantungan keahlian parti yang dikenakan ke atasnya sejak Januari 2023.

Walaupun beberapa pemimpin UMNO baru-baru ini menyuarakan hasrat agar beliau kembali menyertai parti, Shahril menyatakan tiada keperluan mendesak untuk mengubah statusnya kini sebagai ahli yang digantung.

“Saya tetap dengan pendirian saya dan tidak berniat untuk membuat rayuan. Kedudukan saya masih sama dan mereka juga boleh teruskan dengan pendirian mereka,” katanya.

Menurut Shahril, beliau tidak berdendam dan sudah lama menerima kenyataan bahawa kepimpinan UMNO kini tidak selari dengan pandangan politiknya.

“Selagi itu keadaannya, lebih baik kedua-dua pihak tidak membuat keputusan terburu-buru. Saya juga sudah terbiasa dengan kehidupan di luar politik dan tidak rasa tergesa-gesa untuk kembali ke jalan itu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyeru pemimpin yang digantung atau dipecat agar mengetepikan ego jika masih sayangkan parti, sambil menyatakan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbuka menerima rayuan.

Akmal turut menawarkan diri menjadi jambatan untuk membawa pulang semula pemimpin seperti bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Shahril; dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, dua tahun yang berlalu membuktikan bahawa beliau dan UMNO boleh berbeza pandangan tanpa bermusuhan.

“Yang lalu biarkan berlalu. Setiap orang ada prinsip dan maruah sendiri. Insya-Allah, rasa hormat itu masih boleh kekal.

“Saya tidak pernah meminta untuk digantung, tapi selepas digantung, saya juga tidak pernah meminta untuk kembali. Biar masa dan takdir tentukan sama ada perpisahan ini kekal atau sementara,” ujarnya.

Pendekatan Shahril ini berbeza dengan Khairy yang dilaporkan menyambut baik pelawaan Akmal dan mempertimbangkan kemungkinan kembali ke dalam parti.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong turut menegaskan beliau tidak akan merayu penggantungannya, menyatakan bahawa tindakan berkenaan bukan ukuran kesetiaan kepada parti.

Sikap itu hadir susulan usul yang dibawa UMNO Bahagian Sembrong supaya penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik balik, sebagai usaha memperkukuh parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang. – Media Telus.

+ - reset