Berita Sukan
Zii Jia tarik diri Terbuka Jepun 2025, spekulasi kesihatan terus jadi tanda tanya
KUALA LUMPUR 7 Julai - Hasrat peminat tempatan untuk melihat aksi Lee Zii Jia di pentas Terbuka Jepun 2025 tidak kesampaian apabila pemain perseorangan profesional negara itu sah menarik diri daripada kejohanan berprestij tersebut yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 20 Julai ini.
Perkara itu disahkan menerusi kemas kini terbaharu di laman sesawang rasmi Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), yang memaklumkan pemain berusia 27 tahun itu tidak tersenarai sebagai peserta, walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Team LZJ setakat ini.
Zii Jia sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan buku lali ketika menyertai Jelajah Akhir Dunia pada Disember lalu. Beliau kemudian kembali beraksi pada Mac di Orleans Masters namun terkandas di suku akhir selepas tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen, dengan keputusan 23-21, 21-7.
Selepas itu, beliau tampil dalam Kejohanan Seluruh England 2025 di Birmingham pada 11 hingga 16 Mac, tetapi sekali lagi mengalami kekalahan apabila disingkirkan di pusingan pertama oleh wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long, dengan keputusan 21-19, 16-21, 12-21.
Pemain yang kini berada di ranking kelapan dunia itu turut menarik diri daripada menyertai Terbuka Swiss 2025 di Basel, Switzerland pada 18 hingga 23 Mac lepas, susulan kecederaan buku lali yang dialaminya.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Sukan Negara (MSN) pada Sabtu lalu mengesahkan keadaan fizikal Zii Jia berada dalam keadaan baik meskipun pemain itu mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik beberapa lakaran misteri di media sosial sehari sebelumnya.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin memaklumkan bahawa pihaknya serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah menghubungi Team LZJ bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan pemain tersebut.
“Hantaran misteri dibuat Zii Jia kini mengumpul lebih 131,000 tanda suka dan lebih 3,000 komen sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai maksud di sebalik perkongsian berkenaan termasuk wujud dakwaan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mungkin sedang berdepan masalah kesihatan peribadi atau mental.” katanya,
Berita berkaitan
June 12, 2026, 9:36 am
Harimau Malaya naik dua anak tangga ke kedudukan 136 dunia
June 8, 2026, 7:20 pm
Piala AFF: Nafuzi Zain dilantik bimbing Harimau Malaya bulan depan
May 30, 2026, 4:34 pm
Azeem Fahmi lakar sejarah layak ke Grand Final NCAA
May 25, 2026, 3:54 pm
Arif Aiman selamat tamatkan zaman bujang, dijangka bersanding malam ini
May 19, 2026, 3:54 pm
Chen Tang Jie, Toh Ee Wei dinobat Olahragawan dan Olahragawati Negara
May 19, 2026, 11:20 am
Neymar kembali sertai skuad Brazil ke Piala Dunia 2026
May 18, 2026, 11:28 am
Isu gaji KTRW makin parah: Bank kejar, kereta kena tarik dan pemain dihalau rumah
May 17, 2026, 3:31 pm
Khairul Fahmi 'Apek' tinggalkan Sabah FC selepas lima tahun berbakti
May 15, 2026, 10:01 am
JDT lihat sudut positif walaupun gagal ke final ACC
May 14, 2026, 7:28 am
