Berita Jenayah
Lelaki cedera dipukul 40 samseng di Ulu Tiram, seorang suspek ditahan
JOHOR BAHRU 17 Julai – Hasrat seorang lelaki menziarahi ibu saudaranya di Taman Gunung Emas, Ulu Tiram di sini malam kelmarin tidak kesampaian apabila dia diserang sekumpulan samseng.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 30-an, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika dia baru pulang dari kerja dan singgah di rumah ibu saudaranya.
Daniel yang bekerja sebagai penyelia stor di Singapura berkata, ketika berada di luar rumah, dia didatangi sekumpulan 30 hingga 40 lelaki yang kemudian menangkap dan membawanya masuk ke dalam sebuah kereta sebelum dibawa ke taman permainan berhampiran.
"Di situ, saya dipukul beberapa minit menggunakan tangan, kaki serta topi keledar," katanya ketika ditemui di sebuah hospital di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan pantas beberapa anggota polis yang berada di restoran berhampiran berjaya menghalang kejadian lebih buruk apabila mereka datang untuk memeriksa keadaan.
Katanya, kumpulan lelaki itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun seorang daripada mereka berjaya ditahan.
Akibat kejadian tersebut, Daniel mengalami kecederaan di belakang kepala selain patah tulang rahang dan rusuk.
Sementara itu, abang mangsa yang hanya dikenali sebagai Shan, 30-an, berkata dia dan adiknya mengenali ketua kumpulan tersebut kerana berasal dari kawasan yang sama di Ulu Tiram.
“Kami bukan kawan tetapi kenal sebab membesar di kawasan sama. Kumpulan itu juga terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Sebenarnya, mereka mahu mencari anak mak cik kami yang berada di dalam rumah ketika itu, tetapi kerana adik saya berada di luar, dia menjadi sasaran,” katanya.
Tambah Shan, ugutan terhadap keluarga sepupunya sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu susulan satu pertengkaran.
“Kumpulan itu sering mengugut untuk mencederakan kami, termasuk melanggar kami dengan kenderaan. Mereka tahu alamat rumah dan tempat kerja kami, jadi kami hidup dalam ketakutan,” katanya.
Berikutan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 1.04 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Setakat ini, seorang suspek lelaki berusia 25 tahun telah ditahan dan usaha mengesan rakan-rakannya yang lain masih diteruskan,” katanya. – Media Telus
Berita berkaitan
April 18, 2026, 4:46 pm
Lelaki Pakistan ditahan cabul kanak-kanak 11 tahun di kedai runcit
April 18, 2026, 2:02 pm
Polis buru pencuri pakaian dalam wanita di Kampung Tasek
April 16, 2026, 8:24 pm
Polis buru pemandu bas ekspres tular memandu sebelah tangan, didakwa mabuk
April 16, 2026, 10:27 am
Polis gempur stesen minyak sempadan menerusi Ops Tiris 4.0 kekang penyelewengan
April 15, 2026, 9:16 pm
Polis siasat kematian pemuda OKU sebagai kes bunuh susulan keputusan bedah siasat
April 14, 2026, 10:12 am
Polis cari pemandu bas ekspres riba wanita ketika memandu
April 10, 2026, 11:52 am
Pemandu Myvi mabuk rempuh motosikal bawa kanak-kanak di Johor Bahru
April 10, 2026, 11:33 am
