Berita Sukan
Azeem, Umar layak ke separuh akhir WUG 2025
BOCHUM 22 Julai - Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir acara 100 meter lelaki pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, malam tadi (awal pagi Selasa waktu Malaysia).
Dalam saringan tujuh yang berlangsung dalam cuaca hujan dan berangin, Azeem muncul juara dengan catatan 10.57 saat, menewaskan Joeljin Nwamadi dari Korea Selatan (10.61s) dan Nikolaos Dowhos dari Kanada (10.72s).
Pelari yang juga pemenang gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang layak selepas rakan sepasukan, Aliff Iman Mohd Fahmi, menamatkan saringan kelima di tempat kelima dengan masa 11.09s.
Pelajar Universiti Auburn di Amerika Syarikat itu yang juga pemegang rekod kebangsaan 10.09s, dijadual beraksi di separuh akhir malam ini (awal pagi Rabu waktu Malaysia).
“Sebenarnya banyak lagi tenaga saya simpan sebab tahu esok ada dua perlumbaan (separuh akhir dan akhir). Rancangan hari ini hanya tamatkan larian dengan baik tanpa cedera. Alhamdulillah, semuanya lancar,” kata atlet berusia 22 tahun itu.
Puripol Boonson dari Thailand mencatat masa terpantas pusingan pertama dengan 10.23s, diikuti Bayanda Joy Walaza (Afrika Selatan, 10.27s) dan Kyle Brian Zinn (Afrika Selatan, 10.33s).
Dalam acara 400m lelaki, raja pecut Asia Tenggara, Umar Osman turut mara ke separuh akhir selepas mencatat 46.97s – antara tiga pelari terpantas bukan pemenang saringan yang layak secara automatik.
Beliau menamatkan saingan saringan keempat di tempat keempat di belakang Jack Raftery dari Ireland (46.39s), Matej Krsek dari Republik Czech (46.48s) dan Matthew Galea Soler dari Malta (46.82s).
“Catatan agak teruk, tapi saya bersyukur sebab layak. Separuh akhir nanti saya akan cuba buat lebih baik. Untuk pecah rekod kebangsaan semula agak jauh sebab beza hampir satu saat,” kata Umar yang memegang rekod kebangsaan 46.09s.
Catatan terbaik Umar musim ini adalah 46.25s di Kejohanan Asia di Gumi, Korea Selatan pada Mei lalu.
Sementara itu, dua pelari lelaki negara – Muhammad Fakrul Afizul Nasir (400m berpagar) dan Muhammad Aidil Azhar Azrul Hisyam (400m) – terkandas awal. Fakrul mengalami kecederaan hamstring, manakala Aidil Azhar disingkir kerana melanggar lorong.
Dalam acara wanita, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (400m), Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (100m), Azreen Nabila Alias (100m) serta atlet lontar peluru Nani Sahirah Maryata turut gagal melepasi pusingan awal.
Saingan olahraga akan berlangsung sehingga hari penutup temasya pada Ahad ini. – Media Telus
Berita berkaitan
April 23, 2026, 5:19 pm
Harga tiket Final Piala Malaysia kekal, serendah RM50
April 14, 2026, 2:23 pm
Kerajaan peruntuk RM3 juta perkukuh pembangunan sukan sepak takraw negara
March 31, 2026, 11:56 am
Gaji tidak dibayar, legenda import bola sepak Kedah terpaksa mengemis di sosial media
March 25, 2026, 7:21 pm
JDT diundi laluan sukar, berpotensi bertemu juara bertahan
March 25, 2026, 9:36 am
AFC denda JDT RM24,172
March 19, 2026, 11:19 am
JDT buru musim tanpa kalah selepas belasah PDRM FC 7-0
March 18, 2026, 9:45 am
JDT di landasan pecah rekod dunia kejuaraan liga
March 13, 2026, 10:21 am
JDT raih kira-kira RM8.5 juta selepas mara suku akhir ACLE
March 9, 2026, 10:25 am
