TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pasangan suami isteri maut tinggalkan 7 anak, kereta terbabas rempuh pokok

By
|
Kongsi
image

 

KINABATANGAN 5 Ogos - Dua nyawa melayang dalam satu nahas tragis di Kilometer 121, Kampung Paris 1, di sini semalam apabila sepasang suami isteri maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Menurut laporan Berita Harian, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa lelaki dan wanita berusia 34 tahun dilaporkan menumpang sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kota Kinabalu.

Difahamkan, pasangan terbabit meninggalkan tujuh anak yang kini kehilangan ibu dan bapa serentak.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan D Ravi, berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki tiga individu itu hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar sebatang pokok.

“Kereta dinaiki mangsa dilaporkan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan sebelah kiri.

“Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa parah dan dibawa ke Hospital Kinabatangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kedua-dua mangsa suami isteri disahkan meninggal dunia pada jam 3.43 petang ketika menerima rawatan di hospital, manakala pemandu Toyota Avanza berusia 46 tahun turut mengalami kecederaan parah dan kini masih dirawat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

+ - reset