Berita Dunia
Pesawat tentera Turkiye terhempas di Georgia, 20 anggota dikhuatiri maut
ANKARA, 10 Nov 2025 – Sebuah pesawat kargo tentera jenis C-130 Hercules milik Angkatan Tentera Turkiye yang membawa sekurang-kurangnya 20 anggota tentera dilaporkan terhempas di Georgia selepas berlepas dari Azerbaijan, lewat petang semalam.
Setakat ini, jumlah korban dan punca nahas masih belum dapat dipastikan, dengan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Turkiye dan Georgia di perbandaran Sighnaghi, Wilayah Kakheti, berhampiran sempadan Azerbaijan.
Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan bahagian pesawat yang remuk dan terbakar, dengan asap hitam tebal menjulang ke langit. Video yang tular di media sosial memaparkan pesawat itu berpusing secara mendadak sebelum meletup dalam bola api, namun Reuters tidak dapat mengesahkan ketulenan rakaman tersebut.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang ketika itu berucap di Ankara, menghentikan ucapannya untuk menyampaikan ucapan takziah kepada “para syahid kami”, istilah yang lazim digunakan bagi menggambarkan anggota tentera yang terkorban semasa bertugas.
“Insya-Allah, kita akan hadapi tragedi ini dengan ketabahan. Semoga roh para syahid dirahmati Allah,” katanya.
Kementerian Pertahanan Turkiye mengesahkan terdapat 20 anggota tentera termasuk kru penerbangan di dalam pesawat, namun tidak menjelaskan sama ada terdapat penumpang dari negara lain.
Sementara itu, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, memaklumkan bahawa beliau telah berbual dengan Erdogan bagi membincangkan tragedi berkenaan, manakala Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, berkata rakan sejawatnya dari Georgia melaporkan bangkai pesawat ditemui sekitar jam 5 petang waktu tempatan (1400 GMT).
Pihak Interpress Georgia melaporkan kejadian itu sedang disiasat mengikut undang-undang jenayah berkaitan pengangkutan udara dan kehilangan nyawa.
Pesawat berkenaan dilaporkan berlepas dari bandar Ganja, Azerbaijan, menuju ke Turkiye sebelum terhempas di kawasan berbukit berhampiran sempadan.
Sementara itu, Lockheed Martin, pengeluar pesawat C-130 Hercules berpangkalan di Amerika Syarikat, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan penuh dalam siasatan.
Pesawat C-130 Hercules merupakan pesawat pengangkut tentera empat enjin turboprop yang digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk misi kargo, pengangkutan tentera, bantuan kemanusiaan dan operasi taktikal udara. — REUTERS / AGENSI
Berita berkaitan
January 9, 2026, 10:22 pm
Bekas Menteri Agama Indonesia dinamakan sebagai suspek rasuah kuota haji
January 6, 2026, 11:08 am
Maduro mengaku tak bersalah di Mahkamah New York, dakwa diculik tentera AS
January 6, 2026, 10:44 am
10 motosikal terlibat kemalangan di Causeway Johor–Singapura
January 5, 2026, 11:34 am
Trump dakwa Venezuela kini 'tanggungjawab' AS, akui berurusan kepimpinan baharu
January 4, 2026, 12:37 pm
Trump dakwa AS akan tadbir Venezuela susulan penangkapan Maduro
December 26, 2025, 10:06 am
Kongsi foto pokok Krismas, Salah dikecam sekali lagi
December 22, 2025, 8:02 pm
Penerbangan Air India berpatah balik ke Delhi selepas enjin mati
December 17, 2025, 1:11 pm
Trump larang warga Palestin masuk AS
December 15, 2025, 8:32 pm
