Berita Dunia
Ibu bapa doa keselamatan lelaki disanjung wira insiden tembakan Pantai Bondi
SYDNEY 15 Dis – Ibu bapa kepada seorang lelaki yang disifatkan sebagai wira selepas bertindak berani melumpuhkan salah seorang penyerang dalam insiden tembakan di Pantai Bondi, berkata mereka terus berdoa agar anak mereka pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.
Rakaman video yang disahkan BBC menunjukkan Ahmed al Ahmed, 43, berlari ke arah seorang lelaki bersenjata sebelum berjaya merampas senjata api penyerang tersebut dan memaksanya berundur.
Sepupu mangsa memaklumkan Ahmed terpaksa menjalani pembedahan akibat luka tembakan di bahagian lengan dan tangan.
Ibunya berkata kepada media tempatan: “Kami berdoa agar Tuhan menyelamatkannya.”
Ahmed, seorang peniaga buah-buahan dan bapa kepada dua anak, menerima pujian meluas sebagai wira selepas campur tangannya dalam serangan ganas yang mengorbankan 16 nyawa dan mencederakan puluhan individu ketika sambutan Hanukkah diadakan pada Ahad lalu.
Polis Australia mengesahkan kejadian itu sebagai insiden keganasan yang menyasarkan komuniti Yahudi.
Sepupunya, Mustafa, memberitahu 7News Australia bahawa Ahmed ditembak sekurang-kurangnya dua kali.
“Dia wira, seratus peratus wira. Dia terkena dua tembakan, satu di lengan dan satu di tangan,” katanya.
Dalam kemas kini terbaharu, Mustafa berkata keadaan Ahmed kini stabil namun masih dipantau rapi oleh pihak perubatan.
Ibu bapanya pula memaklumkan kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) bahawa anak mereka dipercayai terkena empat atau lima das tembakan.
Bapanya berkata, tindakan berani Ahmed dilakukan tanpa mengira latar belakang mangsa yang diselamatkan.
“Dia tidak memikirkan siapa yang dia selamatkan atau siapa yang sedang mati. Dia tidak membezakan bangsa atau agama. Di Australia, semua warga adalah sama,” katanya.
Pasangan itu turut memaklumkan mereka telah lama terpisah daripada anak mereka sejak 2006 apabila Ahmed berhijrah ke Australia, dan mereka hanya tiba di Sydney dari Syria beberapa bulan lalu.
Sementara itu, Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns, yang melawat Ahmed di hospital menyifatkannya sebagai ‘wira sebenar’ kerana keberanian luar biasa yang menyelamatkan banyak nyawa.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, turut memuji tindakan berani Ahmed, manakala Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan rasa hormat terhadap keberaniannya.
Dalam perkembangan lain, bilionair Amerika Syarikat, William Ackman menyumbangkan A$99,999 (kira-kira RM272,000) kepada Ahmed melalui kempen derma awam yang setakat ini telah mengumpul lebih A$1 juta.
Rakaman video tular menunjukkan Ahmed meluru ke arah penyerang yang bersembunyi berhampiran jambatan pejalan kaki sebelum berjaya menjatuhkannya dan merampas senjata api.
Bagaimanapun, penyerang tersebut dilaporkan kembali mendapatkan senjata lain dan melepaskan tembakan, manakala seorang lagi suspek turut menembak dari atas jambatan.
Polis memaklumkan dua suspek terbabit merupakan bapa dan anak berusia 50 dan 24 tahun. Bapa disahkan maut di lokasi kejadian manakala anaknya kini dirawat dalam keadaan kritikal.
Berita berkaitan
April 29, 2026, 9:10 am
Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara 4 tahun
April 28, 2026, 11:31 am
Prabowo rombak Kabinet, lantik menteri, pegawai kanan baharu
April 28, 2026, 8:18 am
Tujuh maut, dua tren bertembung di Bekasi
April 23, 2026, 1:17 pm
Trump nafi tetapkan tarikh tamat perang AS-Israel dengan Iran
April 22, 2026, 11:15 am
Pesawat tak boleh terbang, penumpang easyJet diarah turun gara-gara terlebih had berat
April 22, 2026, 9:32 am
Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, rundingan damai diteruskan
April 13, 2026, 10:41 am
Harga minyak global melonjak semula susulan sekatan AS ke atas Selat Hormuz
April 10, 2026, 1:15 pm
Trump beri amaran kepada Iran henti caj kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz
April 6, 2026, 8:00 pm
Kapal pertama Malaysia melepasi Selat Hormuz, Iran tunai janji kepada 'rakan setia'
April 6, 2026, 10:31 am
