TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jurufoto jalanan ‘hilang’ lepas nampak pihak berkuasa, 22 dikompaun DBKL

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Nov – Sekumpulan jurufoto jalanan yang menawarkan perkhidmatan di sekitar KLCC bertempiaran melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam satu operasi membanteras aktiviti tanpa lesen malam tadi.

Bagaimanapun, taktik mereka tidak berjaya mengaburi pasukan Kuala Lumpur Strike Force apabila semua individu terbabit berjaya dikesan semula dalam pusingan kedua pemeriksaan, selepas mereka berpura-pura meninggalkan kawasan berkenaan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 22 individu dikenakan kompaun kerana menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen.

“Kami turut merampas peralatan mereka. Pemilik boleh menuntut semula peralatan itu selepas bayaran kompaun dijelaskan,” kata jurucakap DBKL.

Operasi selama dua jam itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pemeriksaan JPN mendapati semua jurufoto terlibat adalah warga tempatan dan memiliki kad pengenalan yang sah,” katanya.

DBKL berkata, tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), yang memperuntukkan kompaun maksimum RM2,000.

Seorang jurufoto, Marjan, 32, berkata mereka hanya menyediakan perkhidmatan kepada pelancong asing.

“Kami ambil gambar dengan cantik, ramai pelancong suka. Kami tak kacau sesiapa. Semua di sini orang tempatan, dari Sabah.

“Tiada warga Indonesia, Bangladesh atau Filipina. Mungkin ada keturunan, mungkin warisan Sulu, tapi kami semua lahir di Malaysia dan ada MyKad.

“Saya kerja di sini sejak datang ke Semenanjung pada 2008. Masa itu bujang, sekarang dah ada empat anak. Saya tak tahu buat kerja lain,” katanya.

Menurut Marjan, ini kali pertama dia dikenakan kompaun sepanjang bekerja sebagai jurufoto jalanan, namun tidak menyalahkan pihak berkuasa kerana memahami mereka hanya menjalankan tugas.

Katanya, kebiasaannya mereka mengenakan bayaran RM5 bagi satu gambar untuk pelanggan tempatan, manakala pelancong asing dikenakan RM10.

Beliau mengakui pernah timbul salah faham mengenai harga, namun kebanyakannya diselesaikan kerana pelanggan dimaklumkan lebih awal.

Operasi itu dijalankan di dua lokasi iaitu kawasan KLCC yang menyaksikan 15 individu dikompaun, manakala tujuh lagi dikompaun berhampiran Laluan Saloma.

DBKL memaklumkan pemantauan dan rondaan berkala akan terus dipertingkatkan.

+ - reset