TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hannah Yeoh menang rayuan saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 13 Jan – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berjaya dalam rayuannya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan fitnah yang dibuat pada satu forum di universiti enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azimah Omar (yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan), dengan membenarkan rayuan Hannah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman.

Mahkamah turut memerintahkan Musa membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM60,000 kepada Hannah, yang kini menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Sepanjang prosiding rayuan tahun lalu, Hannah diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli, Datuk S. Ambiga dan Sangeet Kaur Deo, manakala Musa diwakili peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.

Hannah sebelum ini memfailkan rayuan pada 26 Disember 2024 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember menolak saman fitnahnya terhadap Musa. Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi ketika itu memutuskan bahawa Hannah gagal membuktikan Musa mempunyai niat jahat dan kenyataannya tidak mengandungi unsur fitnah.

Keputusan Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa forum terbabit dilindungi keistimewaan dan Musa hanya memberikan kenyataan berdasarkan analisis akademik serta pengakuan dan penulisan Hannah dalam bukunya, Becoming Hannah: A Personal Journey.

“Kenyataan itu dibuat pada forum mengenai isu keselamatan negara, di mana defendan bercakap sebagai bekas Ketua Polis Negara mengenai ancaman keselamatan. Tiada bukti niat jahat kerana defendan membuat kenyataan berdasarkan kebimbangan terhadap keselamatan negara. Beliau hanyalah penceramah jemputan dan tidak mengetahui forum akan disiarkan secara langsung,” katanya pada masa itu.

Justeru, Mahkamah Tinggi memerintahkan Hannah membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Musa.

Saman asal yang difailkan pada 3 Julai 2020 mendakwa Musa mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berniat jahat, mencemarkan nama baik Hannah dengan mendakwa beliau melalui bukunya berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan kepentingan negara, serta meletakkan kepentingan peribadi di atas kepentingan rakyat.

+ - reset