Berita Berita
Contohi kejayaan Sarawak, MIC cadang kerajaan sedia bas sekolah percuma di seluruh negara
KUALA LUMPUR 13 Jan - MIC mencadangkan kerajaan memperkenalkan skim pengangkutan sekolah percuma di peringkat kebangsaan dengan memanfaatkan pengusaha bas sekolah sedia ada, susulan kejayaan inisiatif bas percuma yang dilaksanakan di Sarawak.
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah berkata, projek perintis di Sarawak yang bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No 6, Kuching, menunjukkan kesan positif termasuk pengurangan kesesakan lalu lintas di sekitar sekolah serta peningkatan tahap keselamatan pelajar.
"Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan kerajaan menggunakan bas-bas sekolah sedia ada sebagai langkah segera dan praktikal.
"Di bawah cadangan ini, kos pengangkutan setiap pelajar diserap sepenuhnya oleh kerajaan, tanpa membebankan ibu bapa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini dilaporkan berkata, inisiatif bas sekolah percuma itu akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah selepas data statistik dan sistem penjejakan menunjukkan pengurangan ketara jumlah kenderaan persendirian di kawasan sekolah, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan jalan raya.
Menurut Murugiah, pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan keluarga, malah mampu menyelamatkan serta menjamin kelangsungan pengusaha bas sekolah yang sering berdepan masalah kewangan, khususnya ketika musim cuti sekolah apabila mereka kehilangan sumber pendapatan.
Beliau berkata, pelaksanaan pengangkutan sekolah percuma juga berpotensi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu pagi dan mengelakkan ibu bapa daripada kelam-kabut menghantar anak ke sekolah.
Selain itu, katanya, kebanjiran murid dan ibu bapa di kawasan sekolah dapat dikurangkan bukan sahaja ketika sesi persekolahan bermula, malah pada waktu tamat sekolah.
"Jika Kerajaan Negeri Sarawak mampu melaksanakan inisiatif ini dengan menyediakan bas-bas baharu, maka tiada sebab mengapa Kerajaan Persekutuan tidak boleh melaksanakannya melalui kaedah alternatif dengan memanfaatkan aset dan operator sedia ada.
"Apa yang diperlukan hanyalah kemahuan politik dan kerjasama bersepadu," katanya.
Murugiah turut mencadangkan supaya satu mekanisme arus perdana diwujudkan menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan bagi merangka pelaksanaan yang menyeluruh, mampan serta berkesan di peringkat nasional.
"Ini adalah pelaburan dalam kebajikan rakyat, kelangsungan industri tempatan dan masa depan pendidikan negara," katanya.
Berita berkaitan
March 19, 2026, 11:55 pm
Remaja parah gegendang telinga pecah, patah hidung angkara ubah suai mercun bola di Seremban
March 19, 2026, 11:34 pm
Lelaki belasah, lenyek kepala isteri hamil akhirnya ditahan polis
March 19, 2026, 10:18 pm
Polis tumpas sindiket ‘mini kasino’ berselindung di sebalik syarikat sukan di Bukit Damansara
March 19, 2026, 8:15 pm
Malaysia sambut Aidilfitri pada 21 Mac 2026
March 19, 2026, 7:14 pm
Anwar ucap tahniah Anutin jadi Perdana Menteri Thailand
March 19, 2026, 4:23 pm
KJ yakin UMNO masih ada asas kukuh untuk bangkit
March 19, 2026, 4:00 pm
'Tak larat nak hadap jem' - Perantau pilih kereta api pulang beraya
March 19, 2026, 2:17 pm
Krisis minyak global: Konflik AS-Iran cetus risiko defisit 10 juta tong sehari
March 19, 2026, 2:02 pm
