TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

STR Fasa 1 2026 mula disalur hari ini, RM1.1 bilion manfaat 5 juta penerima

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 Jan - Bantuan kewangan awal tahun kepada rakyat diteruskan apabila kerajaan memulakan penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 bermula hari ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), jumlah itu akan memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.

Mereka yang layak akan menerima bantuan antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.

"Selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan inisiatif ini dapat mengurangkan beban kos sara hidup secara lebih berkesan, kerajaan menyusun semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini.

"Di bawah penambahbaikan ini, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan, termasuk 400,000 daripada kalangan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih.

"Ini menjadikan SARA sebagai bentuk bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat," kata MOF dalam kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan, STR pula diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.

Pendekatan bersepadu itu memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan.

RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan berkata, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, kekal sebagai yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

"Kerangka Ekonomi MADANI mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

"Apakala rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, nescaya siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih bermaya dan lestari," katanya dalam kenyataan sama.

Bagi mengurangkan risiko keciciran, MOF menjelaskan, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.

"Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan seperti yang ditetapkan.

"Selaras dengan amalan terbaik bagi pelaksanaan program bantuan sosial, setiap permohonan turut melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi Kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.

"Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara," katanya.

Menurut kenyataan itu, semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan mereka.

"Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil, termasuk kerajaan berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

"MOF mengingatkan penerima STR agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Sebagai langkah keselamatan, MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini," kata kenyataan itu.

 

+ - reset