TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas Panglima Tentera Darat mengaku tidak bersalah empat tuduhan pengubahan wang haram RM2.12 juta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Jan - Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tampil di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi menjawab empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan jumlah keseluruhan RM2.12 juta.

Muhammad Hafizuddeain, 58, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

"Faham (pertuduhan) puan, saya mohon dibicarakan," katanya.

Beliau merupakan PTD pertama yang dihadapkan ke mahkamah berkaitan kes pengubahan wang haram membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Muhammad Hafizuddeain yang menghantar surat persaraan daripada perkhidmatan tentera berkuat kuasa 1 Januari lalu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di tiga lokasi berbeza iaitu di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.

Sehubungan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Hafizuddeain diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin, masing-masing RM125,000, dan menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes.

Hakim Azura turut mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali sebulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin serta dua syarat tambahan.

"Kebarangkalian untuk tertuduh melarikan diri itu ada dan pendakwaan percaya pihak pembelaan tidak boleh menafikan kebarangkalian berkenaan. Jumlah RM300,000 itu sangat munasabah dan tidak menekan," katanya.

Sementara itu, peguam bela Aizul Rohan Anuar tidak membantah syarat tambahan berkenaan namun memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM100,000.

"Jumlah lebih daripada (RM100,000) itu adalah berlebihan dalam keadaan ini. Tertuduh berkhidmat dalam tentera lebih 40 tahun dan sekarang status beliau seorang pesara dengan pendapatan sebanyak RM15,000 sebulan.

"Dengan mengambil kira semua akaunnya dibekukan, ia menjadi hukuman jika jumlah yang tinggi dikenakan.

"Jasa beliau dalam tentera dan pernah berkhidmat setahun di Bosnia, manakala isteri beliau juga menghadapi pertuduhan hari ini dan beliau juga bertanggungjawab untuk menanggung wang jaminan isterinya.

Wan Shaharuddin kemudiannya menyatakan penghargaan terhadap khidmat tertuduh sepanjang 40 tahun, namun menegaskan jaminan yang dicadangkan pendakwaan adalah munasabah.

"Jaminan bukan diambil kira dari poket tertuduh tetapi penjamin..isteri ketiga tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan dan jaminan bukan dibayar oleh tertuduh tetapi penjamin.

"Amaun yang ditawarkan pendakwaan munasabah dan tidak menekan," katanya.

+ - reset