TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

135 tangkapan kes LGBT direkodkan sejak 2022 - Menteri Agama

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan - Sebanyak 135 tangkapan berkaitan kes lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) direkodkan di seluruh negara dalam tempoh empat tahun bermula 2022 hingga 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, statistik itu diperoleh daripada Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri.

Menurutnya, pengendalian kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri selaras dengan Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk makluman, sepanjang 2022 hingga 2025, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan isu LGBT oleh Bahagian Penguatkuasaan Syariah di seluruh negara adalah sebanyak 135 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, sebagai menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah tangkapan dan tindakan yang diambil terhadap individu terbabit sepanjang tempoh tersebut.

Dr Zulkifli berkata, kerajaan sentiasa peka terhadap penguatkuasaan jenayah syariah, bukan sahaja melibatkan kes LGBT, malah salah laku lain seperti musahaqah (lesbian), liwat serta lelaki berlagak wanita dalam kalangan umat Islam.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada tangkapan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi tindakan susulan terhadap individu yang disyaki terbabit tetapi tidak mempunyai bukti mencukupi.

“Antara tindakan yang diambil termasuk pemberian nasihat, sesi kaunseling serta arahan menghadiri kursus kesedaran dan pemulihan berkaitan kesalahan yang bercanggah dengan akhlak dan ajaran Islam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai program dakwah dan kursus khas bagi membimbing golongan berkenaan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Menurutnya, bantuan sokongan turut disediakan termasuk bimbingan kerjaya dan keusahawanan bagi membantu mereka menceburi bidang pekerjaan serta perniagaan secara lebih berdaya saing.

 

+ - reset