TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PTPTN: Sekatan ke luar negara hanya untuk peminjam bergaji besar yang culas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Feb – Sekatan perjalanan ke luar negara hanya dikenakan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai pendapatan tinggi atau mencukupi tetapi sengaja culas membuat bayaran balik pinjaman.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menegaskan, tindakan tegas itu tidak melibatkan peminjam yang baru menamatkan pengajian, belum memperoleh pekerjaan tetap atau mereka daripada golongan B40 dan M40.

“Hanya peminjam berpendapatan tinggi atau mencukupi yang benar-benar culas dan menepati beberapa kriteria tertentu sahaja akan dikenakan sekatan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) di Dewan Rakyat pada Isnin, berhubung langkah kementerian membantu graduan yang belum mendapat pekerjaan tetap tetapi disenarai hitam ke luar negara akibat tunggakan PTPTN.

Menurut Adam Adli, setakat ini hanya kira-kira 0.7 peratus daripada keseluruhan peminjam culas dikenakan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan kekal mengekalkan tempoh penangguhan bayaran balik selama 12 bulan selepas tamat pengajian bagi memberi ruang kepada graduan mendapatkan pekerjaan serta pendapatan yang stabil.

Selain itu, katanya peminjam yang tidak berkemampuan turut dibenarkan membuat penstrukturan semula bayaran balik mengikut kemampuan kewangan masing-masing sehingga umur 60 tahun.

Adam Adli turut memaklumkan, setakat ini PTPTN telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM77.5 bilion bagi membantu lebih 4.26 juta pelajar di seluruh negara melanjutkan pengajian.

+ - reset