Berita Berita
Pemandu kontena 'lalok' ganja tak sedar pandu lori dengan tayar pecah dari Perak ke Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM 27 Mac - Seorang pemandu kontena berusia 45 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan meneruskan perjalanan dengan tayar kenderaan yang pecah, dari Taiping, Perak ke Perai, dipercayai untuk mengambil barang dagangan.
Lelaki tersebut ditahan dalam Operasi Khas sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang bersama beberapa agensi lain di Plaza Tol Juru hala utara, malam tadi.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail, berkata kontena tersebut dihentikan untuk pemeriksaan, dan ujian air kencing yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati pemandu berkenaan positif ganja.
Selain itu, pemeriksaan mendapati tayar celup pada kontena itu mempunyai stiker kelulusan SIRIM yang meragukan.
"Tayar celup yang pecah ini mungkin adalah tiruan, dan saya rasa pemandu itu juga berada dalam keadaan separuh sedar disebabkan pengaruh dadah, sehingga tidak menyedari tayar tersebut telah rosak teruk.
"Tindakan memandu dalam keadaan sebegitu amat berbahaya, bukan sahaja kepada pemandu, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain kerana ia boleh menyebabkan kegagalan brek dan meningkatkan risiko kemalangan," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.
Operasi empat jam itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pengangkutan Awam Darat, dan AADK.
Zulkifly menambah, pemandu kontena tersebut gagal memberikan alasan mengenai tayar celup yang pecah dan AADK telah menahannya untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, lori tersebut ditahan untuk pemeriksaan oleh JPJ Pulau Pinang.
Beliau turut menyatakan bahawa banyak pengusaha lori yang masih menggunakan tayar celup yang tidak mengikut piawaian, bagi menggantikan tayar botak kerana ia lebih murah.
"Tayar yang tidak memenuhi piawaian SIRIM ini boleh menyebabkan kemalangan, jadi kami akan terus mengadakan operasi untuk mengesan kenderaan yang gagal mematuhi peraturan," katanya.
Operasi HRA 2025, yang bermula pada 28 Mac hingga 18 April, bertujuan memantau perjalanan pengguna jalan raya agar lebih selamat dan lancar serta memastikan kecekapan operasi kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam.
Sepanjang operasi ini, seramai 210 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang akan bertugas, dan cuti kesemua petugas penguat kuasa juga dibekukan.
Zulkifly berkata pelbagai kaedah penguatkuasaan akan digunakan dalam operasi kali ini, termasuk pemeriksaan dan pemantauan bas ekspres di Terminal Bas Sungai Nibong dan Terminal Bas Penang Central, serta rondaan berkala di lebuh raya dan jalan raya utama negeri ini.
Selain itu, rondaan juga dipertingkatkan di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kesesakan dan kemalangan.
Pasukan penguat kuasa juga akan meningkatkan rondaan di empat laluan yang sering berlaku kesesakan atau kemalangan, iaitu Jalan Butterworth-Sungai Dua-Sungai Petani, Jalan Baru Perai-Bukit Mertajam-Seberang Jaya, Jalan Permatang Tinggi-Jalan Simpang Ampat-Jalan Bandar Cassia-Jalan Butterworth Taiping, dan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu-Masjid Negeri-Jalan Sultan Azlan Shah-Bayan Baru.
"Rondaan dan penguatkuasaan ini bertujuan menimbulkan kesedaran kepada pemandu bahawa mereka sentiasa diperhatikan, dan tindakan akan dikenakan sekiranya melakukan kesalahan lalu lintas," tambahnya.
Berita berkaitan
May 27, 2025, 8:40 pm
CEO Batu dibebaskan dengan jaminan polis
May 27, 2025, 8:26 pm
Umat Islam di Malaysia sambut Aidiladha pada Sabtu, 7 Jun
May 27, 2025, 6:51 pm
Sultan Brunei dimasukkan ke IJN
May 27, 2025, 6:39 pm
Subsidi ayam ditamatkan demi kelestarian industri ternakan – Mohamad Sabu
May 27, 2025, 5:22 pm
Guru wanita skandal dengan abang 'CCTV & Wiring' direhatkan daripada mengajar - Fadhlina
May 27, 2025, 3:39 pm
Polis nafi dakwaan kes pukau, samun bersenjata berleluasa di Pekan
May 27, 2025, 3:36 pm
Pelajar Tingkatan 5 trauma, cedera dikejar 3 anjing liar di Seremban
May 27, 2025, 3:05 pm