Berita Berita
Subsidi ayam ditamatkan demi kelestarian industri ternakan – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR 27 Mei - Langkah Kerajaan MADANI menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam sejak 1 November 2023 merupakan sebahagian daripada usaha menyusun semula sektor ternakan negara agar lebih mampan, kompetitif dan lestari.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penjimatan hasil daripada penamatan subsidi itu membolehkan kerajaan menyalurkan semula dana kepada program strategik yang menyokong industri penternakan ayam secara langsung.
“Antara fokus utama ialah membuka semula reban-reban ayam yang terbiar, menaik taraf sistem reban tertutup, serta menyediakan kemudahan pembiayaan kepada penternak untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran ayam negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Mohamad menegaskan, rakyat perlu memahami bahawa kesan daripada dasar seumpama ini tidak berlaku secara serta-merta dan memerlukan masa untuk memperlihatkan hasil.
“Ada inisiatif yang mengambil masa beberapa tahun untuk menunjukkan impak. Yang penting ialah hala tuju yang jelas dan pelaksanaan yang konsisten,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat agar berlaku adil dalam menilai dasar kerajaan dan memahami bahawa setiap keputusan dibuat selepas kajian mendalam, sesi libat urus serta pertimbangan menyeluruh.
“Tiada kerajaan yang waras mahu menyusahkan rakyat, apatah lagi menghancurkan negara sendiri. Segala langkah yang diambil adalah demi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat jangka panjang,” tambahnya.
Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata bahawa penamatan subsidi pukal ayam dibuat bagi mengurangkan ketirisan, memandangkan subsidi itu turut dinikmati warga asing serta golongan berpendapatan tinggi.
Kerajaan turut memaklumkan bahawa dana penjimatan akan digunakan untuk memperkukuh pelbagai inisiatif sosioekonomi rakyat, termasuk pemberian bantuan tunai secara lebih bersasar. - Media Telus
Berita berkaitan
May 28, 2025, 4:31 pm
Selepas Rafizi, Nik Nazmi pula umum letak jawatan berkuat kuasa 4 Julai
May 28, 2025, 2:22 pm
Pekerja binaan maut jatuh dari tingkat 22 di tapak projek
May 28, 2025, 2:07 pm
Buruh maut dirempuh Lamborghini ketika melintas
May 28, 2025, 1:58 pm
Ini sebab kenapa Rafizi tak perlu letak jawatan Menteri Ekonomi
May 28, 2025, 1:37 pm
Rafizi umum letak jawatan Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun
May 28, 2025, 1:31 pm
Anwar cadang undang-undang baharu supaya AI dapat beroperasi bebas
May 28, 2025, 12:41 pm
Fitnah habiskan duit MARA, Asyraf Wajdi akan saman fitnah Mas Ermieyati
May 28, 2025, 12:00 pm