TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Menteri Agama beri amaran rakyat Malaysia jangan buat haji tanpa visa, negara berisiko hilang kuota

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kerajaan memberi amaran kepada rakyat Malaysia yang tiada visa haji daripada kerajaan Arab Saudi supaya tidak melakukan ibadah itu di tanah suci di Makkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata ia bagi mengelak negara berisiko hilang kuota haji pada masa depan, termasuk digantung visa oleh kerajaan Arab Saudi.

“Saya telah memberi amaran sebelum ini, jangan disebabkan kedegilan kita melanggar peraturan ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, hingga memberi kesan kepada jemaah haji pada masa akan datang.

“Sebelum ini 14 negara dihalang (dapat visa umrah dan sementara) oleh kerajaan Arab Saudi sebab terlalu banyak pelanggaran oleh rakyat mereka,” katanya ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di WTC.

Na’im juga menasihatkan orang Islam yang hendak menunaikan haji supaya menunaikannya mengikut hukuman syarak dan peraturan ditetapkan Arab Saudi.

“Sebab bila ditangkap dendanya sangat tinggi dekat SAR100,000 dan selepas itu kena sekat tak boleh masuk (Arab Saudi). Lima tahun paling kurang. Tak boleh buat umrah dan sebagainya

“Jangan disebabkan kebodohan dan keterlanjuran kita, negara hadapi masalah dan juga akan menimbulkan masalah kepada jemaah haji yang akan datang,” katanya.

Terbaharu dilaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah mengesahkan seramai 63 rakyat negara ini diusir dari Makkah kerana tiada visa haji yang sah.

Jumlah itu direkodkan pejabat perwakilan Malaysia sejak 29 April hingga Jumaat lalu, membabitkan mereka yang berada di kota suci itu termasuk yang dipercayai mahu melakukan ibadah haji tanpa permit.

Mengulas laporan itu, Na’im berkata pihaknya menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung 63 rakyat Malaysia yang diusir itu.

Ketika ditanya sama ada Malaysia sudah menerima pengesahan tambahan 10,000 kuota seperti dimohon sebelum ini, Na’im berkata pihaknya belum lagi menerima jawapan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

+ - reset