TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Laporan penuh insiden letupan paip gas Putra Heights dijangka siap akhir Jun – Ketua Polis Selangor

By
|
Kongsi
image

SEPANG 27 Mei - Laporan penuh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Jun ini, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Menurut beliau, siasatan di lokasi kejadian telah selesai dan kawasan terlibat kini telah diserahkan kepada pihak Petronas untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan serta pembaikan.

“Laporan lengkap daripada pihak polis akan dikeluarkan bersama laporan penuh JKKP yang dijangka siap menjelang akhir bulan Jun,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Mengulas mengenai jentera pengorek (eskavator) yang tertimbus dalam kejadian itu, Hussein menjelaskan bahawa ia akan dikeluarkan semasa proses pembaikan dijalankan.

“Eskavator itu bukan keutamaan dalam siasatan kami, tetapi ia merupakan objek penting kerana tertimbus sewaktu letupan berlaku. Kami tidak dapat mengeluarkan spesimen daripada paip gas dan jentera itu secara serentak kerana dikhuatiri struktur tanah akan runtuh.

“Kami tidak abaikan eskavator itu. Siasatan lanjut tetap akan dibuat, namun ketika itu fokus utama kami adalah mendapatkan spesimen dari paip gas,” jelasnya.

Insiden letupan paip gas yang berlaku pada 1 April lalu menyebabkan kemusnahan besar, membabitkan 81 rumah mengalami kerosakan serius melebihi 40 peratus, manakala 81 lagi rosak secara separa.

Selain itu, sebanyak 57 rumah turut terjejas tanpa mengalami kebakaran, dan 218 buah rumah, termasuk di Kampung Tengah, Puchong, dilaporkan tidak terjejas. - Media Telus

+ - reset