TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat lelaki menyamar polis, samun rumah di Semenyih ditahan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Mei - Polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 33 hingga 38 tahun yang disyaki terlibat dalam kes samun sebuah rumah di Semenyih dengan menyamar sebagai anggota polis, dalam kejadian awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Hussein Omar Khan, berkata kesemua suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Dengkil, Bukit Puchong, Bukit Raja, dan Klang antara jam 1.15 pagi hingga 5.32 petang pada Sabtu lalu.

Menurut beliau, dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning, tiga telefon bimbit, dan beberapa helai pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian samun.

“Tiga daripada suspek telah direman selama empat hari hingga hari ini, manakala seorang lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah lain yang masih bebas, sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan.

Hussein turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap taktik penyamaran, termasuk suspek yang menggunakan jaket polis dan pelitup muka untuk memperdaya mangsa ketika melakukan jenayah.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai diminta melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Insp Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial yang memaparkan lima lelaki menyamar sebagai polis memecah masuk sebuah rumah dan menyamun seorang pesara lelaki berumur 55 tahun bersama tiga ahli keluarganya.

Dalam kejadian itu, suspek melarikan beberapa barang kemas, dua telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM500. - Media Telus

+ - reset