TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemuda UMNO tuntut keadilan untuk ‘Abang Belon’

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Mac - Pemuda UMNO bertekad untuk memperjuangkan keadilan bagi seorang penjual belon, dikenali sebagai ‘abang belon’, yang didakwa dikasari oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kejadian di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam tadi.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke Facebook, menegaskan bahawa pihaknya akan mengarahkan pasukan peguam Pemuda UMNO untuk mengambil tindakan segera terhadap insiden tersebut.

Beliau juga menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi ‘abang belon’ supaya tampil membantu bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat diberikan.

“Dia juga seorang manusia, bukan haiwan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Kasihanilah dia. Hanya beberapa jam dia berniaga, berapa sangatlah pendapatannya?

“Kami akan mencari abang ini dan membawa kes ini ke mahkamah.

“Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri. Kami akan menuntut keadilan dan mempertahankan haknya,” tegas beliau dalam video berkenaan.

Tindakan DBKL Dipersoal

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal mempersoalkan sama ada kesalahan yang dilakukan oleh penjual belon tersebut begitu besar sehingga wajar diperlakukan sedemikian rupa.

Beliau meluahkan rasa kesal terhadap tindakan yang dianggap tidak berperikemanusiaan itu dan menyifatkan layanan terhadap ‘abang belon’ sebagai tidak wajar.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, untuk memberi penjelasan sama ada tindakan kasar oleh penguatkuasa DBKL itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya akui, kalau tiada lesen atau permit, itu satu kesalahan. Tetapi sebagai manusia, kita harus ada rasa belas ihsan.

“Lebih-lebih lagi dalam musim perayaan ini, berilah sedikit ruang kepada mereka untuk mencari rezeki.

“Dia juga mempunyai keluarga – isteri, anak-anak, serta saudara-mara. Jika ahli keluarga melihatnya diperlakukan sedemikian, tentu mereka sedih dan kecewa,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan sama ada kesalahan peniaga itu cukup berat sehingga perlu dikendalikan dengan kekerasan.

Video Insiden Tular di Media Sosial

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit 43 saat yang menunjukkan seorang penjual belon didakwa dikasari oleh beberapa penguatkuasa DBKL di Jalan TAR telah tular di media sosial.

Dalam video tersebut, beberapa penguatkuasa dilihat bergelut dengan lelaki berkenaan ketika cuba merampas belonnya.

Difahamkan, peniaga itu menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan tersebut, namun tindakan keras yang diambil terhadapnya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. - Media Telus

+ - reset