TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tahan pemandu pikap langgar mangsa hingga alami pendarahan otak, patah tulang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 12 Mei - Pemandu pikap Nissan Navara yang disyaki terbabit kes langgar lari sebelum Plaza Tol Duta, di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di sini, kelmarin, sudah ditahan. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata suspek seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun direman dua hari. 

"Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, retak tulang selangka dan luka di buku lali manakala isterinya berusia 49 tahun cedera lebih serius. 

"Wanita itu patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan otak akibat pelanggaran itu," katanya dalam kenyataan.

Siasatan mendapati nahas berlaku jam 2.30 petang membabitkan pikap berkenaan dengan motosikal mangsa.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, suspek cuba memotong sebuah motosikal lain namun gagal mengelak motosikal mangsa lalu melanggar bahagian kanan motosikal berkenaan. 

"Laporan polis pertama diterima pada hari sama, jam 6.55 petang dibuat pemandu pikap terbabit. 

"Susulan siasatan, permohonan reman dibuat dan suspek kini ditahan selama dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya. 

Mohd Zamzuri berkata, kedua-duanya mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. 

Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit memaparkan sebuah pikap melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit.

+ - reset