TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

Perkahwinan 20 tahun berakhir, Edika Yusof, isteri sah bercerai talak satu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Selepas dua dekad membina rumah tangga, pelakon Edika Yusof dan isterinya, Nor Hidayah Yusri akhirnya berpisah apabila bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pada jam 10.42 pagi tadi.

Edika atau nama penuhnya Mohd Yusof Abd Majid, 58, melafazkan cerai tersebut di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh.

"Saya setuju melepaskan plaintif (Nor Hidayah)," ujar Edika ketika disoal hakim pada awal prosiding.

Hakim kemudian membenarkan lafaz cerai talak satu mengikut Seksyen 47 dan menyempurnakan prosiding perceraian itu.

Ketika ditanya mengenai sebarang ucapan terakhir buat isterinya, Edika memilih untuk tidak memberi sebarang komen.

Namun, Nor Hidayah dalam nada sebak berkata, “Sebagai isteri, saya tak pernah menafikan semua kebaikan yang pernah dibuat dan keputusan saya atas hukum. Saya tahu saya boleh bertahan sehingga akhir hayat, tapi apabila sudah membabitkan hukum, saya terpaksa buat keputusan ini. Saya harap dia (Edika) faham.”

Pasangan itu kemudiannya bersalaman sebelum lafaz cerai dilakukan.

Pada 24 Mac lalu, peguam syarie yang mewakili Nor Hidayah, Mohd Yazid Hazim dari Tetuan Yazid Azuhan Associates mengesahkan bahawa permohonan cerai telah difailkan pada pertengahan Februari.

Mahkamah menetapkan tarikh hari ini untuk lafaz cerai selepas prosiding sebelum ini ditangguhkan kerana plaintif berada dalam keadaan tidak suci.

Mohd Yazid turut memaklumkan bahawa terdapat 10 dakwaan dikemukakan oleh Nor Hidayah sebagai asas permohonan cerai, namun tidak didedahkan kerana bersifat mengaibkan.

Edika dan Nor Hidayah mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dan dikurniakan dua cahaya mata, Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20.

Pasangan ini pernah meraih perhatian ramai apabila Edika dilihat setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua.

 

+ - reset