TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

InDrive dan Maxim diarah henti operasi 24 Julai, langgar syarat pelesenan – Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

 

 

PASIR GUDANG 9 Mei - Dua penyedia perkhidmatan e-hailing dari Russia, InDrive dan Maxim, bakal menamatkan operasi mereka di Malaysia bermula 24 Julai ini susulan pelanggaran syarat lesen operasi yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat rasmi kepada kedua-dua syarikat berkenaan bagi mengarahkan mereka menghentikan operasi.

"Berkuat kuasa 24 Julai ini, operasi InDrive dan Maxim perlu dihentikan daripada beroperasi di negara ini.

"Dua syarikat e-hailing berkenaan boleh membuat rayuan, namun rayuan itu hanya boleh diputuskan saya selaku Menteri Pengangkutan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan semula landasan bagi perkhidmatan kargo di laluan Kempas Baru – Pasir Gudang, yang diadakan di Terminal Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Pasir Gudang.

Isu berkaitan dua aplikasi e-hailing itu sebelum ini mendapat perhatian selepas Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk menyekat akses ke platform berkenaan.

Dalam kenyataan mereka, persatuan itu mendakwa bahawa Maxim dan InDrive terus beroperasi tanpa mematuhi undang-undang sedia ada, termasuk membenarkan pemandu yang tidak memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk menawarkan perkhidmatan.

Menurut APAD, siasatan mendapati kedua-dua syarikat terbabit telah melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), termasuk kegagalan memastikan semua kenderaan mereka memiliki Permit Kenderaan E-hailing (EVP) yang sah seperti yang diwajibkan dalam Lesen Pengendali Individu (IBL).

Kesalahan tersebut merupakan pelanggaran di bawah Seksyen 12D(1)(a) akta sama, yang membolehkan APAD membatalkan lesen mana-mana pengendali yang didapati melanggar syarat yang ditetapkan.

+ - reset