Berita Berita
'Minta maaf dengan umat Islam' - Veteren DAP didesak tarik balik bantahan bina masjid depan TRX
KUALA LUMPUR 21 Jun - Veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim didesak menarik balik kenyataannya yang membantah cadangan pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX), selain memohon maaf kepada umat Islam kerana kenyataan tersebut disifatkan sebagai tidak sensitif dan berbaur prejudis.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu tidak selari dengan semangat perpaduan serta saling menghormati yang menjadi asas pembinaan negara.
Menurutnya, beliau terpaksa menjawab kenyataan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin DAP berhubung isu agama Islam sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Terkini, Chang Khim mendesak agar cadangan pembinaan Masjid Warisan di hadapan TRX dibatalkan atas alasan kononnya akan menimbulkan ketidakharmonian dan mengganggu aktiviti komersial serta hiburan.
“Ini adalah satu kenyataan yang amat dikesali, tidak bertanggungjawab dan sarat dengan prejudis terhadap Islam serta institusi masjid. Adalah keterlaluan dan tidak masuk akal untuk menggambarkan sebuah masjid sebagai ancaman kepada keharmonian masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu, Chang Khim dilaporkan menggesa supaya cadangan pembinaan Masjid Warisan di sebuah tapak di hadapan Menara TRX dibatalkan kerana mendakwa ia berpotensi menimbulkan ketidakharmonian dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, pelan tersebut akhirnya akan membawa pertembungan aktiviti kebudayaan dalam satu kawasan yang telah dibangunkan sebagai pusat komersial dan hiburan yang rancak di Kuala Lumpur.
"Adakah semua aktiviti dalam kawasan tersebut perlu dihentikan apabila azan disiarkan pada masa hadapan? Mengapa kita perlu mewujudkan sensitiviti yang boleh dijangka berlaku sedangkan pada masa ini tiada sebarang sensitiviti sedemikian? Idea yang tidak masuk akal ini mesti dibatalkan," dakwanya.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal yang juga Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia mempersoalkan logik yang digunakan sehingga menganggap laungan azan dan kewujudan sebuah rumah ibadat umat Islam mampu mencetuskan pertembungan budaya serta sensitiviti.
“Jika logik sedemikian diterima, maka ia membuka ruang untuk mana-mana rumah ibadat atau amalan keagamaan lain turut dianggap sebagai ancaman kepada kehidupan bandar moden.
“Kenyataan beliau yang mempersoalkan sama ada aktiviti di kawasan tersebut perlu dihentikan apabila azan berkumandang juga jelas memperlihatkan ketidakfahaman, malah boleh ditafsirkan sebagai cubaan menimbulkan ketakutan dan sentimen negatif terhadap syiar Islam.
“Azan telah berkumandang di negara ini sejak sebelum merdeka lagi dan tidak pernah menjadi penghalang kepada pembangunan ekonomi, pelancongan atau kehidupan masyarakat majmuk,” tegasnya.
Beliau berkata, pandangan bahawa sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa tidak memerlukan masjid ikonik di tengah pembangunan moden adalah sempit dan bertentangan dengan realiti bandar-bandar utama dunia yang turut menampilkan rumah ibadat sebagai sebahagian daripada identiti serta warisan mereka.
“Apakah Kuala Lumpur harus menanggalkan identitinya semata-mata untuk memenuhi tafsiran sempit segelintir pihak mengenai konsep bandar antarabangsa? Sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dan syiar Islam sewajarnya dihormati oleh semua pihak.
“Tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan pembinaan sebuah masjid yang sah di atas tanah yang diperuntukkan mengikut undang-undang semata-mata kerana kebimbangan yang dibina atas andaian dan prasangka,” katanya.
Menurut beliau, amat malang apabila seorang tokoh politik veteran memilih untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan syak wasangka terhadap Islam sedangkan beliau sepatutnya berperanan memperkukuhkan persefahaman antara kaum dan agama.
“Masjid Warisan bukan ancaman kepada keharmonian. Sebaliknya, kenyataan yang bersifat prejudis, provokatif dan membina ketakutan terhadap syiar Islam itulah yang sebenarnya berpotensi menggugat keharmonian negara,” tegasnya lagi.
Berita berkaitan
June 21, 2026, 10:10 pm
Harga diesel bersubsidi untuk rakyat turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 - PM Anwar
June 21, 2026, 3:14 pm
Umur baru 19 tahun dah berani 'mati' rakam wanita dalam tandas restoran
June 21, 2026, 2:00 pm
Wawasan umum barisan kepimpinan pusat, Hamzah Presiden, Rais Yatim Pengerusi
June 21, 2026, 11:46 am
Keterangan mencurigakan, polis tahan lelaki, mangsa dakwa konon diculik minta tebusan RM18,000
June 21, 2026, 9:54 am
Gempa bumi magnitud 3.3 dikesan di perairan Batu Pahat
June 20, 2026, 10:08 pm
'Jangan datang sini cakap bukan-bukan, tuduh Kerajaan Johor tak buat kerja' - TMJ
June 20, 2026, 5:57 pm
