TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Harga diesel bersubsidi untuk rakyat turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 - PM Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Jun - Harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai ini menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang menggunakan mekanisme berasaskan MyKad.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu di Bintulu, Sarawak hari ini berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan subsidi kerajaan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia yang layak.

Beliau berkata, pelaksanaan itu selaras dengan pendekatan yang digunakan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus mewujudkan kaedah pembelian diesel bersubsidi yang seragam di seluruh negara.

"Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara, manakala bukan warganegara serta pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi," katanya.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan sama berkata, langkah itu diambil ketika konflik di Asia Barat terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, sekali gus menuntut kerajaan memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.

MOF berkata, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi sebelum ini turut membuka ruang kepada ketirisan serta kegiatan penyeludupan, termasuk ke luar negara.

Ketika ini, diesel dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga runcit di Semenanjung Malaysia menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi baharu terbabit.

Pada masa sama, rakyat di Sabah dan Sarawak yang memiliki kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.

MOF berkata, pelaksanaan mekanisme itu juga akan memastikan bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi diesel yang disediakan kerajaan.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel berkenaan dijangka diumumkan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok.

+ - reset