TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Umur baru 19 tahun dah berani 'mati' rakam wanita dalam tandas restoran

By
|
Kongsi
image

MIRI 21 Jun - Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun kurang dua jam selepas dia dipercayai merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit ketika mangsa berada di dalam tandas sebuah restoran di Bekenu, dekat sini, semalam.

Penahanan suspek dilakukan susulan laporan polis yang dibuat mangsa selepas menyedari perbuatan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek diberkas anggota Balai Polis Bekenu kira-kira jam 11.30 pagi pada hari kejadian.

Menurutnya, kes itu menjadi perhatian ramai selepas gambar dan video berdurasi 28 saat yang memaparkan suspek ditahan orang awam tular di Facebook sejak semalam.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi apabila suspek dipercayai menggunakan telefon bimbit untuk merakam mangsa yang berada di dalam tandas restoran berkenaan.

“Perbuatan suspek disedari mangsa sebelum wanita itu tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, polis menjalankan siasatan segera dan berjaya menahan suspek pada hari yang sama.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai kelindan lori itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

+ - reset