TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Arwah ayah tinggalkan bilik tidur yang bersih dan wangi, tiada habuk' - Misteri kehilangan lelaki selama 11 hari terungkai, mayat ditemui dalam kebun getah

By
|
Kongsi
image

SIK 21 Jun - Kehilangan seorang lelaki sejak 11 hari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan berhampiran motosikal yang digunakan mangsa di sebuah kebun getah di Felda Teloi Timur, di sini, pada Ahad.

Mangsa, Asmadi Ibrahim, 58, ditemukan kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas usaha pencarian dijalankan sejak beliau dilaporkan hilang.

Anak mangsa, Nurul Atirah Nadira, 23, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai penemuan jasad bapanya, namun reda menerima ketentuan yang berlaku.

“Terkejut juga dapat tahu, walaupun sedih namun tetap reda dengan kejadian yang menimpa,” katanya.

Dalam masa sama, Nurul Atirah meluahkan rasa syukur apabila bapanya akhirnya ditemukan selepas tempoh pencarian yang penuh debaran.

“Setiap hari bimbang sebab tak tahu keadaan ayah bagaimana, memikirkan dia selamat atau tidak, tapi bila dah jumpa Alhamdulillah terima kasih semua yang bantu,” katanya.

Menurutnya, pelbagai ikhtiar dilakukan sepanjang tempoh pencarian termasuk mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat bagi memohon dipermudahkan usaha mencari mangsa.

“Kali terakhir jumpa ayah ketika Hari Raya Aidiladha lalu.

“Tiada apa-apa perubahan tetapi tengok ayah gembira melayan cucunya,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di bilik bapanya selepas kehilangan itu turut menemukan keadaan yang berbeza apabila ruang berkenaan didapati lebih teratur dan kemas berbanding kebiasaannya.

Menurutnya, bapanya tinggal bersama datuk mereka, Taharin Abdullah, 80, selepas kematian isterinya.

“Bilik ayah bersih, tersusun rapi, tempat sembahyangnya bersih, Al-Quran, kopiah semuanya tiada habuk, baju Melayunya semua wangi, tempat tidurnya kemas elok berbanding sebelum ini keadaannya agak bersepah.

“Ayah tiada sebarang penyakit, saya sedih kerana ayah pergi tanpa kami di sisinya namun reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa keluar dari rumah untuk mencari rumput bagi diberikan kepada kambing peliharaannya.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur selepas selesai proses bedah siasat.

+ - reset