TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Russia sah tembak jatuh pesawat MH17 - Majlis Penerbangan PBB

By
|
Kongsi
image

 

OTTAWA 13 Mei - Russia telah diputuskan bertanggungjawab atas insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada tahun 2014 yang mengorbankan 298 nyawa, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan Belanda susulan keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) semalam.

Menurut kenyataan itu, ICAO – agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Montreal – akan meneliti bentuk pampasan yang sesuai dalam beberapa minggu akan datang sebagai langkah susulan terhadap keputusan tersebut.

Tragedi MH17 berlaku pada 17 Julai 2014, ketika pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum ia ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine yang ketika itu bergolak dengan pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.

Pada November 2022, mahkamah Belanda telah mensabitkan dua rakyat Russia dan seorang rakyat Ukraine – tanpa kehadiran mereka – atas tuduhan membunuh berkaitan serangan itu. Moscow bagaimanapun menyifatkan keputusan tersebut sebagai ‘memalukan’ dan menegaskan bahawa ia tidak akan mengekstradisi mana-mana warganya yang terlibat.

Kes ini dimulakan secara rasmi pada 2022 oleh Australia dan Belanda, yang bersama-sama berusaha menuntut keadilan bagi mangsa tragedi itu.

Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp dalam kenyataannya menyifatkan keputusan ICAO sebagai langkah penting dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, serta memastikan akauntabiliti terhadap insiden tragik berkenaan.

“Keputusan ini juga memberi mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa sebarang akibat,” katanya.

Meskipun ICAO tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan undang-undang, peranannya dalam menetapkan piawaian penerbangan global yang diikuti oleh 193 negara anggota memberi tekanan moral yang signifikan dalam isu-isu keselamatan penerbangan antarabangsa.

+ - reset