TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

USM, UKM dipilih laksana projek rintis Program Pendidikan Tingkatan Enam

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 18 Mei - Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam mulai tahun ini bagi lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Menurut KPM, program ini dilaksanakan melalui kerjasama silang bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan projek rintis akan diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, dua bidang pengajian ditawarkan iaitu Sains dan Sains Sosial bagi mereka yang membuat permohonan kemasukan program itu.

“Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat yang ditetapkan boleh membuat permohonan program itu mulai esok hingga 25 Mei ini.

“Keputusan kemasukan ke program ini boleh disemak pada 3 Jun depan melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, KPM memaklumkan, tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 boleh disemak secara dalam talian mulai esok melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau melalui sekolah asal masing-masing.

Katanya, bagi murid yang tidak menerima tawaran, rayuan boleh dibuat mulai esok hingga 25 Mei ini.

“Keputusan rayuan boleh disemak melalui kaedah yang sama pada 3 Jun depan.

“Semua murid yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam perlu melapor diri di Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun depan,” katanya. 

+ - reset