TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja 14 tahun hilang selepas tinggalkan nota luah hasrat mahu berdikari

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 19 Mei – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dari Kampung Chenggal Lempong dilaporkan hilang selepas meninggalkan telefon bimbit dan sepucuk nota kepada ibunya yang menyatakan hasrat untuk hidup berdikari.

Remaja berkenaan, Mas Rayyan Riqqin Abdullah, merupakan pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong. Kehilangannya disedari oleh ibunya, seorang wanita berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh, pada malam Sabtu lalu apabila mendapati anak sulungnya itu tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa pada jam 8.51 malam keesokan harinya. Menurut beliau, wanita berkenaan menemui telefon bimbit anaknya bersama nota yang ditulis sendiri oleh remaja itu ketika memeriksa biliknya.

Nota tersebut dipercayai ditulis bagi menyampaikan permohonan maaf dan menjelaskan keputusan remaja itu untuk keluar rumah demi mencari kehidupan berdikari. Selepas menyedari kehilangan anaknya, si ibu telah cuba menghubungi rakan-rakan anaknya namun tiada seorang pun mengetahui keberadaannya.

Siasatan awal mendapati Mas Rayyan tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga dan tidak pernah terlibat dalam sebarang pertelingkahan. Kali terakhir dia dilihat adalah pada malam Jumaat kira-kira jam 10.30 malam ketika sedang makan malam bersama ibunya.

Polis kini sedang menjalankan usaha mengesan mangsa dan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak remaja tersebut agar segera tampil membantu siasatan. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. - Media Telus

+ - reset