TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16

By
|
Kongsi
image

 

NIBONG TEBAL 31 Julai - Pelantikan Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pulau Pinang dilihat sebagai langkah strategik parti untuk mengukuhkan kedudukan dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

Turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi ialah Ahli Parlimen Batu Kawan, Gooh Choon Aik gandingan yang dianggap berpotensi membawa suntikan baru kepada jentera parti di peringkat negeri.

Ketua Cabang KEADILAN Nibong Tebal, Fadhlina Sidek menyifatkan pelantikan itu sebagai bukti keyakinan kepimpinan pusat terhadap kemampuan dua tokoh tersebut untuk menyusun gerak kerja dan mengukuhkan struktur organisasi parti di Pulau Pinang.

“Pelantikan ini mencerminkan keyakinan parti terhadap kepimpinan Mohamad dan Gooh Choon untuk memperkukuh struktur serta gerak kerja KEADILAN Pulau Pinang menuju Pilihan Raya Umum Ke-16,” tegas Fadhlina.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menegaskan bahawa KEADILAN Cabang Nibong Tebal komited sepenuhnya untuk menyokong kepimpinan negeri dalam memperkukuh agenda reformasi dan memperjuangkan nasib rakyat, khususnya di peringkat akar umbi.

Pelantikan Mohamad yang juga ADUN Batu Maung dan Exco Kerajaan Negeri dilihat sebagai usaha KEADILAN untuk memperkukuh pengaruhnya di negeri yang selama ini merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH), namun sentiasa menjadi sasaran pembangkang.

Dalam masa sama, ucapan tahniah turut dizahirkan kepada semua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi MPN di seluruh negara serta barisan pimpinan Biro Parti yang diumumkan secara rasmi.

Langkah menyusun kepimpinan negeri ini dianggap sebagai permulaan fasa konsolidasi parti menjelang PRU16, sekali gus memberi bayangan awal tentang keseriusan KEADILAN dalam mempertahankan kuasa dan mandat rakyat.

 

+ - reset