Berita Politik
Zahid alu-alukan bekas Ahli Parlimen UMNO dalam Bersatu kembali ke parti
KUALA LUMPUR 15 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kembali ke pangkuan parti, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Menurut Puad, kenyataan Zahid bahawa “pintu tidak dibuka seluas-luasnya atau ditutup serapat-rapatnya” sebelum ini telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
Jelasnya, kenyataan itu sebenarnya merujuk kepada Ahli Parlimen Bersatu yang asalnya daripada UMNO tetapi bertindak melompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
“Mereka ini dialu-alukan untuk kembali ke pangkuan UMNO. Namun, sudah tentu ada perkara yang perlu dipersetujui bersama. Itulah maksud pintu tidak dibuka seluas-luasnya atau ditutup serapat-rapatnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, tanpa memperincikan perkara yang dimaksudkan.
Puad berkata, jika situasi itu berlaku, tidak mustahil sejarah pembubaran Parti Semangat 46 sebelum ini akan berulang.
Beliau turut mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dilihat sudah hilang kawalan terhadap parti itu, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan berlakunya perpecahan dalaman.
Kenyataan berkenaan dipercayai merujuk kepada perebutan kuasa antara Muhyiddin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang sebelum ini membawa kepada pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan serta Datuk Saifuddin Abdullah.
Untuk rekod, Bersatu ditubuhkan pada 2016 oleh bekas pemimpin UMNO, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Selepas Barisan Nasional tewas pada PRU14, beberapa Ahli Parlimen UMNO bertindak menyertai Bersatu, antaranya Hamzah Zainudin, Ketua Bersatu Sabah Datuk Seri Ronald Kiandee, Ketua Wanita Bersatu Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 2:02 pm
PN gesa kerajaan batal potongan peruntukan KKM dan KPT
April 28, 2026, 8:34 pm
KJ gesa undi tidak percaya, sifatkan tindakan UMNO Negeri Sembilan langkah tepat
April 28, 2026, 7:25 pm
Tiga tokoh PAS Selangor dicalonkan terajui PN negeri
April 28, 2026, 9:00 am
'Bergantung kepada Tuanku' - Anwar jangka PRN Negeri Sembilan tidak diadakan
April 27, 2026, 5:49 pm
Aminuddin kekal MB Negeri Sembilan, diarah bertugas seperti biasa
April 27, 2026, 9:42 am
'UMNO lain cerita' - Bersatu kekal tolak kemasukan semua ahli dipecat
April 24, 2026, 11:48 am
PAS Perlis kekal sokong kerajaan PN, nafi usul undi tidak percaya
April 21, 2026, 11:05 am
Shahidan nafi ada gerakan jatuhkan MB Perlis, sokongan PN kekal utuh
April 21, 2026, 10:56 am
UMNO terima 3,716 pendaftaran ahli baharu dalam tempoh 24 jam
April 20, 2026, 10:20 am
