Berita Politik
Muhyiddin tidak dijemput hadir mesyuarat PN kerana letak jawatan berkuat kuasa 1 Januari
KUALA LUMPUR 26 Jan – Keputusan tidak menyenaraikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai individu yang perlu hadir ke mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Khamis ini dibuat susulan peletakan jawatan beliau yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, berikutan itu hanya ahli Majlis Tertinggi PN (MTPN) yang masih memegang jawatan sahaja dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini juga tidak disenaraikan sebagai kehadiran mesyuarat tersebut.
"Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Muhyiddin) ini sudah berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu).
"Tapi tak apalah, walaupun demikian, (pemakluman peletakan jawatan itu) perlu dibawa kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk diluluskan juga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, hari ini.
Sebelum ini, satu surat jemputan mesyuarat luar biasa PN yang dikongsi gabungan itu semalam mengundang kritikan beberapa pemimpin BERSATU yang mempersoalkan ketiadaan nama Muhyiddin dalam senarai individu yang perlu hadir.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan Muhyiddin telah menghantar sepucuk surat bertarikh 30 Disember 2025 kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi memaklumkan peletakan jawatannya yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Justeru, katanya, mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN Khamis ini akan memfokuskan tiga agenda utama iaitu memilih pengerusi mesyuarat, membincangkan serta meluluskan atau menolak peletakan jawatan Muhyiddin dan seterusnya melantik Pengerusi PN yang baharu.
"Kalau Majlis Tertinggi PN sudah meluluskan peletakan jawatan (Muhyiddin) itu, maka seterusnya perlu melantik Pengerusi PN yang baru.
"Saya jangka, bila kita dapat melantik Pengerusi baharu PN pada 29 Januari ini, Pengerusi PN itu sudah tentulah akan memanggil mesyuarat.
"Sebab dia perlu lantik setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan timbalan setiausaha agung.
"Kalau dia nak lantik yang baru. Kalau dia mahu kekal (pemimpin penyandang sebelum ini), maka kekallah. Ini kuasa Pengerusi PN," katanya.
Takiyuddin berkata, sekiranya mesyuarat luar biasa PN Khamis ini menolak peletakan jawatan Muhyiddin, bekas Perdana Menteri itu perlu meneruskan tugasnya seperti biasa.
Bagaimanapun, Muhyiddin dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU sebelum ini menyatakan pendiriannya untuk kekal dengan keputusan meletakkan jawatan.
Mengulas kehadiran Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam mesyuarat berkenaan, Takiyuddin berkata Ahli Parlimen Larut itu hadir atas kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi PN yang mewakili BERSATU.
"Oleh kerana Presiden BERSATU iaitu Muhyiddin menjadi Pengerusi PN, maka BERSATU melantik Timbalan presidennya iaitu YB Datuk Seri Hamzah menjadi timbalan pengerusi (PN)," katanya.
Berita berkaitan
September 20, 2026, 2:49 pm
Belum ada rundingan PH-BERSATU – Fahmi
September 20, 2026, 9:38 am
Muhyiddin sahkan kerjasama politik Bersatu-Pas sudah berakhir
September 20, 2026, 9:36 am
Muhyiddin tak tolak perbincangan kerjasama politik baharu bersama PH
September 19, 2026, 9:13 am
Pengampunan bersyarat Najib bukan keputusan PM, PH - Fadhlina
September 10, 2026, 12:18 pm
PAU 2026: Sumbangan masa lalu tak cukup, UMNO perlu raih kepercayaan rakyat
September 10, 2026, 12:09 pm
PAU 2026: Kemenangan di Johor, Negeri Sembilan bukan untuk mendabik dada - Noraini
September 10, 2026, 11:48 am
PAU 2026: Puteri UMNO berhasrat jadi jambatan penyatuan Melayu
September 10, 2026, 11:36 am
PAU 2026: Puteri UMNO desak wanita muda diberi ruang memimpin, buat keputusan
September 8, 2026, 10:23 am
Penyatuan PAS, UMNO boleh dicapai jika ada kompromi agihan kerusi PRU16
September 7, 2026, 10:27 am
