TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja OKU di SJKC yang pasang Jalur Gemilang terbalik, sekolah mohon maaf

By
|
Kongsi
image

 

PORT DICKSON 4 Ogos - Insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di sini baru-baru ini disahkan berpunca daripada kecuaian seorang pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) yang bertugas di sekolah berkenaan.

Timbalan Ketua Cabang Keadilan Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin berkata, bendera dipasang secara tidak sengaja oleh pekerja OKU terbabit bersama seorang lagi rakan sekerja selepas waktu persekolahan, ketika mereka sedang menghias kawasan sekolah sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

“Pemasangan bendera itu dilakukan seorang pekerja sekolah berstatus OKU bersama seorang lagi pekerja am yang membantu menghias kawasan sekolah selepas waktu persekolahan.

“Tujuan mereka adalah untuk menyambut Bulan Kebangsaan dan mewujudkan suasana sambutan yang penuh semangat patriotik tanpa sebarang niat tidak baik atau unsur tidak menghormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kenny, pihak sekolah segera mengambil tindakan membetulkan kedudukan Jalur Gemilang sebaik menyedari kesilapan tersebut.

Katanya, guru besar sekolah turut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat selain memberi penjelasan kepada media bagi meredakan kekeliruan.

“SJKC Chung Hua Port Dickson sentiasa menitikberatkan pendidikan patriotisme dan menghormati Jalur Gemilang.

“Sekolah tidak pernah mempunyai sebarang unsur yang boleh dianggap tidak menghormati lambang negara. Kami menyeru semua pihak untuk melihat perkara ini secara rasional sebagai satu kecuaian manusia semata-mata tanpa diperbesarkan atau dipolitikkan sehingga menimbulkan kekeliruan dan tekanan yang tidak perlu kepada pihak sekolah dan murid-murid,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan permohonan maaf terbuka daripada pihak sekolah selepas tular gambar bendera dipasang secara terbalik di kawasan sekolah berkenaan pada Jumaat lalu.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan akan mengambil tindakan tegas selepas menerima laporan penuh siasatan berhubung insiden berkenaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek dalam kenyataan sebelum ini menegaskan, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan siasatan pihak kementerian.

+ - reset