TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas didakwa cabul remaja 16 tahun dalam teksi ketika berhenti di lampu isyarat

By
|
Kongsi
image

MUAR 4 Ogos - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal pada seorang pelajar perempuan yang menaiki teksi dipandunya pada Mei lalu.

Tertuduh, Low Fatt Tham, 76, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 16 tahun dalam teksi ketika berhenti di lampu isyarat Jalan Mohd Salim, Kluang, kira-kira jam 8.20 malam 13 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Nursyidah Muslim.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap tertuduh sebelum mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, terutama mangsa, hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 4 September depan untuk serahan dokumen.

+ - reset