TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Urusan rakyat semakin mudah' - Pusat Sehenti Tenaga Kerja KESUMA dan pejabat baharu HRD Corp dibina di Sabah

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KOTA KINABALU, 4 Ogos – Sabah mencatatkan satu lagi pencapaian penting dalam sektor pembangunan tenaga kerja apabila menjadi negeri pertama di Malaysia Timur yang memiliki Pusat Sehenti Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), yang turut menempatkan pejabat baharu Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Sutera Avenue, Kota Kinabalu.

Pelancaran pusat sehenti dan pejabat berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, dalam satu majlis rasmi yang turut dihadiri pegawai tertinggi kementerian dan agensi berkaitan.

Menurut Steven Sim, pelancaran ini merupakan satu pencapaian strategik dalam usaha kerajaan menyampaikan perkhidmatan berkaitan pekerjaan, latihan kemahiran dan perlindungan sosial kepada rakyat secara menyeluruh dan inklusif.

“Pelancaran ini mencerminkan pendekatan baharu KESUMA yang lebih mesra rakyat. Kita ingin memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada mendapat akses kepada peluang pekerjaan, latihan serta perlindungan sosial hanya kerana tidak tahu ke mana hendak dituju,” katanya.

Beliau menegaskan, pusat sehenti ini merupakan manifestasi kepada prinsip ‘No Wrong Door Policy’ yang sedang digerakkan oleh KESUMA, di mana semua rakyat yang hadir ke mana-mana agensi di bawah kementerian tidak akan ditolak, sebaliknya akan dibantu sepenuhnya.

Pusat Sehenti Tenaga Kerja ini menghimpunkan pelbagai agensi utama di bawah KESUMA seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang semuanya kini beroperasi di satu lokasi.

Steven berkata, dengan penggabungan pelbagai perkhidmatan ini, rakyat Sabah tidak perlu lagi bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mendapatkan maklumat atau perkhidmatan berkaitan tenaga kerja.

“Kita mahu memudahkan urusan rakyat. Ini bukan sekadar gabungan fizikal agensi, tetapi satu sistem penyampaian perkhidmatan yang inklusif, efisien dan berpaksikan rakyat,” katanya.

Langkah ini juga adalah sebahagian daripada transformasi pentadbiran perkhidmatan awam yang mendokong prinsip Malaysia MADANI, dengan matlamat menghapuskan birokrasi dan mengurangkan kerenah pentadbiran yang selama ini membebankan pengguna.

Pelancaran pusat sehenti itu turut menyaksikan pembukaan rasmi Pejabat Baharu HRD Corp Sabah, yang menandakan usaha serius agensi berkenaan dalam memperluaskan manfaat pembangunan modal insan di negeri ini.

Menurut Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, pembukaan pejabat itu adalah langkah strategik dalam memperkukuh keupayaan tempatan, terutamanya untuk komuniti luar bandar dan golongan rentan.

“Pejabat ini lengkap dengan kemudahan latihan dan dewan seminar bagi membolehkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan kemahiran secara langsung kepada rakyat Sabah. Kami ingin memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam arus pembangunan modal insan negara,” katanya.

HRD Corp juga akan mempergiat kerjasama dengan syarikat industri tempatan, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil untuk menawarkan latihan yang berkualiti dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan di Sabah.

“Sabah mempunyai potensi besar dari segi tenaga kerja. Namun potensi itu perlu dibangunkan secara sistematik melalui peluang latihan dan peningkatan kemahiran. HRD Corp bersedia menjadi pemangkin kepada usaha ini,” tambah beliau.

Sebelum Sabah, tiga Pusat Sehenti Tenaga Kerja telah dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru bermula 3 Jun 2024.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada pelan menyeluruh KESUMA untuk menyepadukan semua perkhidmatan berkaitan tenaga kerja di seluruh negara.

Dengan pelancaran pusat sehenti di Sabah, ia dijangka menjadi pemangkin utama kepada kejayaan agenda Sabah Maju Jaya, selain menyokong matlamat pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan dasar ekonomi MADANI.

Steven Sim dalam ucapannya turut memberi jaminan bahawa kementerian akan terus memperluas inisiatif sedemikian ke negeri-negeri lain berdasarkan permintaan dan keperluan setempat.

“Kita mahu jadikan Sabah sebagai model perkhidmatan tenaga kerja yang terbaik di Malaysia Timur. KESUMA akan terus mendekatkan diri kepada rakyat dengan membawa penyelesaian ke tempat mereka, bukan sebaliknya,” katanya. - Media Telus

+ - reset