Berita Berita
Rafizi cadang tamat sekolah umur 16 tahun, fokus kepada pendidikan awal dalam RMK13

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan agar sistem pendidikan negara dirombak dengan menetapkan usia tamat persekolahan pada umur 16 tahun, bagi memberi ruang kepada generasi muda menyertai sektor pekerjaan lebih awal.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan berikutan Malaysia sedang menuju status negara menua, sekali gus menuntut penglibatan awal tenaga muda dalam pasaran pekerjaan.
“Sekolah mesti berakhir lebih awal pada umur 16 tahun kerana satu, kita negara menua.
Keduanya, supaya anak-anak kita dapat mula menyertai sektor pekerjaan dengan lebih awal pada umur 21 tahun,” katanya ketika berbahas dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan fokus utama RMK13, Rafizi menjelaskan dokumen tersebut tidak lagi memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi secara konvensional kerana tumpuan kepada aspek itu sudah dilaksanakan menerusi perancangan tahun 2023 dan 2024.
Sebaliknya, beliau berkata, RMK13 memberi keutamaan kepada sektor pendidikan, khususnya memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak yang disifatkan sebagai asas paling penting dalam membentuk generasi masa depan negara.
Antara yang menjadi fokus dalam RMK13 ialah komitmen kerajaan untuk menyediakan pendidikan prasekolah secara menyeluruh dan universal kepada semua kanak-kanak bermula usia lima tahun.
“Sebenarnya ini diperlukan kerana mengambil kira garbage in, garbage out kalau kanak-kanak tidak dididik dengan baik pada umur yang mempunyai potensi perkembangan tinggi iaitu antara lima hingga sembilan tahun.
“Bila mereka masuk Darjah Satu dan Darjah Lima, buatlah macam mana pun, mereka telah pun ketinggalan,” ujarnya.
Menurut beliau, negara-negara maju telah lama memberi tumpuan kepada pendidikan awal berbanding hanya memperuntukkan belanjawan besar untuk pendidikan menengah atau tinggi.
Katanya lagi, meskipun RMK13 tidak menetapkan angka peruntukan secara terperinci, komitmen yang diberikan mencerminkan hasrat jangka panjang kerajaan.
“Sebab itu, kalau tengok dalam RMK13, kita tak letak angka pun, berapa bilion dan sebagainya. Tetapi komitmen untuk menyediakan pendidikan prasekolah secara universal.
“Bermakna sesiapa pun jadi kerajaan selepas ini, mesti membuat keutamaan untuk memastikan sekolah seluruh negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun mampu memberikan perkhidmatan prasekolah yang universal kepada semua,” katanya.
Berita berkaitan
August 4, 2025, 7:56 pm
Pekerja OKU di SJKC yang pasang Jalur Gemilang terbalik, sekolah mohon maaf
August 4, 2025, 4:18 pm
'Ia satu kesilapan, tak perlu politikkan isu SJKC pasang Jalur Gemilang terbalik' - Anthony Loke
August 4, 2025, 4:00 pm
Pinjaman 'Buy Now Pay Later' cecah RM38 bilion, kerajaan sedia perketat undang-undang
August 4, 2025, 3:27 pm
Pakar psikologi dakwa tiada bukti pengabaian terhadap Zayn Rayyan
August 4, 2025, 3:23 pm
Warga emas didakwa cabul remaja 16 tahun dalam teksi ketika berhenti di lampu isyarat
August 4, 2025, 3:10 pm