TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jika keluarga saya yang terbabit, sudah tentu saya ingin tahu puncanya' - Anwar jamin siasatan kes Zara Qairina telus, tiada tolak ansur

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU, 9 Ogos – Kes kematian remaja perempuan berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, akan disiasat secara telus tanpa sebarang kompromi, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, isu itu tidak wajar dipandang ringan dan meminta orang ramai mengelakkan daripada menjadikannya bahan politik atau menyebarkan spekulasi yang boleh mengundang fitnah.

“Meskipun ada yang mengaitkan kematian remaja itu dengan orang kenamaan, siasatan tetap dijalankan secara telus. Arahan kita jelas, tiada tolak ansur. Macam-macam orang bercerita, kata anak TYT lah, menteri lah, itu semua cerita, saya tak peduli, tapi jangan fitnah.

“Pepatah Melayu kata jangan bina istana di atas pusara orang. Ini soal kematian, tak kiralah anak orang miskin atau kaya, bukan mainan. Kalau keluarga saya terbabit pun, sudah tentu ingin tahu puncanya,” katanya.

Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar, untuk memantau secara langsung siasatan bagi memastikan tiada masalah atau cubaan melindungi pihak yang bersalah.

“Ini Kerajaan Madani, tak ada nak lindung sesiapa yang bersalah,” katanya ketika berucap pada program Rancakkan Madani Kelantan di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut beliau, pihaknya tidak mempunyai sebarang kebimbangan sekiranya hasil bedah siasat mendedahkan punca sebenar kematian Zara Qairina.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Allahyarham yang sebelum ini dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.

AGC memaklumkan, tindakan itu adalah sebahagian arahan untuk memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh, termasuk membolehkan prosedur bedah siasat dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat dan bukti tambahan.

Langkah tersebut, menurut AGC, penting bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan selepas meneliti laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan.

– Media Telus

 

+ - reset