TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Umur 19 tahun pun dah ada yang kena serangan jantung' - NCD di Malaysia semakin membimbangkan

By
|
Kongsi
image

 

KANGAR, 9 Ogos – Penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila Institut Jantung Negara (IJN) merekodkan kes serangan jantung termuda membabitkan pesakit berusia 19 tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementeriannya akan mengambil langkah agresif bagi menangani isu itu sambil menggesa rakyat mengamalkan gaya hidup sihat termasuk bersenam secara konsisten dan menjaga pemakanan.

Beliau menjelaskan, darah tinggi (hipertensi), kolesterol tinggi, diabetes serta obesiti adalah antara faktor utama penyebab serangan jantung yang mampu membunuh secara senyap jika tidak ditangani.

“Hasil dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia menghidap hipertensi, satu daripada tiga mempunyai kolesterol tinggi, satu daripada enam menghidap diabetes, dan hampir 54 peratus mengalami masalah obesiti.

“Kita khuatir NCD yang menjadi pembunuh utama iaitu serangan jantung,” katanya dalam laporan Berita Harian pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Sihat Milik Semua di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat. Karnival berlangsung selama dua hari sebagai program sisipan sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Dzulkefly turut menegaskan kementeriannya memberi perhatian terhadap penyakit kronik seperti penyakit paru-paru akibat rokok termasuk Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (COPD), asma dan kanser paru-paru.

Beliau berkata selepas serangan jantung, kanser adalah antara NCD yang menjadi punca utama kematian, namun penyakit paru-paru kronik akibat rokok juga berpotensi menjadi pembunuh kedua.

Menurutnya, Malaysia membelanjakan kira-kira RM64.3 bilion setahun untuk rawatan NCD, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Media Telus

+ - reset