TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki ditahan sebar video dakwa kematian Zara Qairina pembunuhan terancang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun selepas didapati menyebarkan sebuah video di TikTok yang mengandungi dakwaan tidak benar berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairina.

Video berdurasi dua minit enam saat yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @berjuanguntukzara itu bertajuk “Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, semakan awal polis mendapati ia mengandungi kenyataan palsu yang menyifatkan kematian pelajar terbabit sebagai pembunuhan terancang.

"Suspek ditahan pada 18 Ogos lalu sekitar jam 10.20 malam. Turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyebaran video berkenaan. Mahkamah kemudiannya membenarkan reman selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Ogos 2025," katanya.

Menurut M.Kumar, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Kes disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang iaitu:

  • Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 – boleh dihukum penjara sehingga 3 tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

  • Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan – kenyataan yang mendatangkan khianat awam, hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

  • Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa keputusan untuk mengadakan prosiding inkues terhadap kematian Zara Qairina telah dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos lalu.

Sehubungan itu, pihak polis memberi amaran keras bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta sehingga menimbulkan ketakutan, kegentaran awam atau mengganggu prosiding mahkamah.

Masyarakat juga diingatkan agar tidak mudah percaya dengan maklumat yang tular di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya, khususnya melibatkan isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara. - Media Telus

+ - reset