TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Buli asrama Sungai Udang: Lebih 20 pelajar dipaksa ‘hukuman ganas’, dua senior disiasat polis

By
|
Kongsi
image

MELAKA 19 Ogos – Suasana tenang sebuah sekolah berasrama di Sungai Udang bertukar gempar apabila lebih 20 pelajar perempuan tingkatan tiga mendakwa menjadi mangsa buli dua pelajar senior tingkatan empat dalam satu insiden awal pagi Sabtu lalu.

Mangsa mendakwa dipaksa menjalani ‘hukuman’ kejam seperti berjalan itik hampir 30 minit serta melakukan ketuk ketampi berulang kali hanya kerana lewat pulang ke asrama. Tindakan itu bukan sahaja meninggalkan kesan trauma, malah menyebabkan ada yang mengalami bengkak dan melecet pada kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Dua pelajar terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengesahkan pihak polis masih menunggu laporan perubatan kerana pengadu mendakwa kakinya sakit akibat hukuman berkenaan.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman menyifatkan insiden itu sebagai “interaksi tidak wajar” antara pelajar senior dan junior yang mencabuli hak murid untuk belajar dalam suasana selamat.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini. PPD dan JPN Melaka tidak akan berkompromi dan siasatan dalaman telah dimulakan. Tindakan tegas akan diambil demi memastikan keselamatan serta kebajikan murid sentiasa terpelihara,” katanya.

Rahmad turut mengarahkan pihak sekolah memperketat kawalan serta mempergiat program penerapan nilai, sahsiah dan pencegahan salah laku murid bagi membendung gejala buli di asrama.

Sumber memberitahu, ramai mangsa sebelum ini tidak berani melaporkan kejadian kerana takut menjadi sasaran senior, sekali gus menimbulkan persoalan tentang tahap kawalan dan pemantauan pihak sekolah. - Media Telus

+ - reset