TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bapa yakin anak OKU hilang di Bukit Tabur 19 hari lalu masih hidup, tetap setia tunggu kepulangan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Walaupun sudah 19 hari berlalu, seorang bapa tetap percaya anaknya yang hilang di kawasan Bukit Tabur, Kampung Warisan, Taman Melawati masih hidup dan akan kembali semula ke pangkuan keluarga.

"Saya percaya Sham masih hidup, setiap hari saya dan isteri menunggu kepulangannya di pintu masuk bukit ini," kata Nazri Harun, 69, bapa kepada Norhafsham, 43, seorang orang kurang upaya (OKU) mental yang dilaporkan hilang sejak 1 Ogos lalu.

Nazri berkata, keyakinannya tetap teguh walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pihak berkuasa sebelum ini sudah dihentikan pada hari keempat.

"Saya percaya dia masih hidup, mungkin kami tidak nampak dengan mata kasar, dan saya serta isteri akan tetap menunggu sehingga dia pulang.

"Setakat ini, tidak ada pihak membantu pencarian selepas polis menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari keempat kehilangannya," katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, anaknya yang mesra disapa Sham pernah memberitahu ingin ke bukit berkenaan untuk bertemu ‘seseorang’.

"Dia sering ke kawasan sungai berdekatan, tetapi tidak pernah ke kawasan bukit. Namun, pada hari itu dia beritahu ingin ke sana sebelum didapati hilang.

"Itu kali terakhir saya bercakap dengannya. Ramai juga orang menghubungi saya memberitahu lokasi Sham berada tetapi bila minta mereka datang, pelbagai alasan diberikan," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Nazri menghantar Norhafsham ke Kampung Warisan Taman Melawati, Hulu Kelang untuk berehat kira-kira jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, anaknya masih belum pulang sekitar jam 9.30 malam sebelum dia membuat keputusan mencari di kawasan berkenaan, namun gagal menemuinya.

Terdahulu, kira-kira 60 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam operasi SAR mencari lelaki berkenaan.

 

+ - reset