Berita Berita
Saksi utama perbicaraan kes rasuah Guan Eng mohon perlindungan polis

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja, saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang, memohon perlindungan polis kerana bimbang keselamatannya selepas menjadi mangsa rompakan bersenjata di kediamannya di Petaling Jaya pada 6 Ogos lalu.
Gnanaraja, 44, yang hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dengan kawalan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelihatan gugup ketika menyambung keterangannya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Katanya, insiden samun itu meninggalkan kesan mendalam terhadap keadaan emosi dan mentalnya.
“Saya bukan di sini untuk menuduh sesiapa. Saya rasa keselamatan saya terancam, apa sahaja boleh berlaku kepada saya. Saya mohon keselamatan saya dijamin dahulu, kemudian barulah saya boleh beri keterangan,” katanya di kandang saksi.
Namun, Hakim Azura menjelaskan bahawa permohonan keselamatan perlu dikemukakan kepada pihak pendakwaan, polis atau SPRM kerana mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkannya.
“Kita simpati kepada saksi, tetapi keutamaan sekarang adalah selesaikan kes ini. Jika anda tidak boleh teruskan keterangan, sila maklumkan kepada pihak pendakwaan,” ujar Azura.
Peguam bela Lim Guan Eng, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer, kemudian membantah kenyataan Gnanaraja berkaitan rompakan itu dengan alasan ia tidak relevan dengan pertuduhan, sebelum mahkamah memutuskan untuk memadamkan kenyataan berkenaan daripada rekod.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memaklumkan bahawa Gnanaraja kelihatan tidak bersedia secara mental untuk meneruskan keterangannya, manakala Timbalan Pendakwa Raya lain, Mahadi Abdul Jumaat, memohon perbicaraan ditangguhkan selepas berbincang dengan saksi.
Hakim kemudiannya menetapkan 27 dan 28 Ogos depan untuk menyambung prosiding.
Lim Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, sedang berdepan empat pertuduhan melibatkan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut, termasuk didakwa menerima suapan RM3.3 juta serta melupuskan dua lot tanah kerajaan negeri kepada syarikat berkaitan projek itu. - Media Telus
Berita berkaitan
August 19, 2025, 9:47 pm
Akmal Saleh pulang awal dari umrah, berdepan pertuduhan di mahkamah Jumaat ini kes Jalur Gemilang
August 19, 2025, 6:11 pm
Buli asrama Sungai Udang: Lebih 20 pelajar dipaksa ‘hukuman ganas’, dua senior disiasat polis
August 19, 2025, 5:49 pm
Cemas di EDL: Pelajar wanita pandu lawan arus lima minit, nyaris undang tragedi
August 19, 2025, 5:48 pm
Bapa yakin anak OKU hilang di Bukit Tabur 19 hari lalu masih hidup, tetap setia tunggu kepulangan
August 19, 2025, 5:43 pm
Orang ramai disaran daftar MyDigital ID segera, akses MyJPJ dan MyBayar PDRM lebih lancar
August 19, 2025, 5:36 pm
Kerajaan kaji semula sekatan perjalanan peminjam PTPTN
August 19, 2025, 5:31 pm
SJA kesal wartawan diganggu ketika liputan inkues kematian Zara Qairina
August 19, 2025, 5:14 pm