TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MARA tak layan rayuan 'kabel' termasuk golongan VIP jika terlibat buli - Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan tiada sebarang layanan istimewa akan diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menggunakan pengaruh ‘orang dalam’ atau orang kenamaan (VVIP) bagi mempengaruhi keputusan pengurusan tertinggi, termasuk dalam kes rayuan pelajar dibuang Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akibat salah laku disiplin.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan pihaknya tidak akan melayan cubaan menggunakan ‘kabel’ termasuk dalam kalangan orang politik.

Jika terdapat waris yang berusaha menggunakan pengaruh untuk mencampuri keputusan, beliau berkata pendiriannya tetap tidak akan tergugat.

"Saya sudah beri amaran siap-siap kepada sesiapa saja, sebarang rayuan tidak akan dilayan.

"Ia tidak kira datangnya daripada sesiapa sahaja hatta orang besar, VVIP atau orang politik. You Touch You Go," katanya kepada BH semalam.

 

Mengulas sama ada beliau pernah menerima surat rayuan daripada individu berstatus kenamaan supaya pelajar terbabit kes buli diterima semula ke MRSM, Asyraf Wajdi berkata setakat ini tiada.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada waris atau ibu bapa yang memohon untuk bertemu dengannya bagi merayu agar anak mereka yang terbabit kesalahan membuli dapat diberi peluang kedua.

Katanya, beliau memilih untuk tidak melayan permintaan berkenaan.

"Tak ada, sebab saya sudah bagi amaran siap-siap yang saya tidak mahu jumpa pun (walaupun) ada yang minta nak jumpa," katanya.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi mendedahkan beliau dan pihak MARA pernah menerima ancaman saman daripada ibu bapa pelajar yang dibuang MRSM kerana terbabit kes buli.

Ekoran itu, beliau menyatakan kesediaan berdepan tindakan undang-undang yang mahu diambil oleh waris berkenaan.

+ - reset