TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anthony Loke angkuh, DAP kini jadi MCA 2.0 - Ti Lian Ker

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 25 Ogos – Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook terhadap MCA sebagai angkuh dan menggambarkan parti itu kini berubah menjadi "MCA 2.0".

Menurutnya, kenyataan Anthony bahawa “DAP boleh berfungsi tanpa MCA” merupakan kali keempat pemimpin itu menghina MCA secara terbuka selepas sebelum ini pernah menyindir dengan ungkapan “tidak suka MCA”, “tidak peduli dengan MCA” dan “jangan perasan”.

“DAP selama ini mengejek MCA sebagai lemah dan tunduk kepada UMNO, namun hari ini parti itu sendiri tunduk lebih rendah daripada apa yang pernah mereka kritik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Ti berkata, banyak janji DAP termasuk pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, pengiktirafan sijil UEC serta reformasi institusi gagal ditunaikan. Malah, katanya, perjuangan untuk menuntut keadilan bagi mendiang Teoh Beng Hock yang pernah dijadikan simbol penindasan juga tidak lagi diberi perhatian.

Beliau turut mempersoalkan kepimpinan Anthony yang disifatkan tidak memiliki prinsip dan keberanian politik seperti tokoh terdahulu, Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

“DAP kini hanya menjadi bayangan MCA, tetapi dengan lebih keangkuhan serta kegagalan. Anthony perlu berhati-hati kerana masyarakat tidak menunggu untuk melihat hinaan terhadap MCA, sebaliknya mahu menyaksikan DAP membuktikan ia lebih baik daripada MCA,” ujarnya. - Media Telus

+ - reset