TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Saham Indonesia jatuh, rupiah menjunam susulan protes politik memuncak di Jakarta

By
|
Kongsi
image

 

BENGALURU 29 Ogos – Pasaran kewangan Asia berlegar dalam sentimen berhati-hati hari ini apabila protes politik di Jakarta menekan pasaran Indonesia, manakala pelabur menunggu data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang dijangka menjadi petunjuk kepada dasar Rizab Persekutuan (Fed).

Di Indonesia, ketegangan meningkat susulan kejadian semalam apabila seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar kenderaan polis ketika pertempuran ganas di luar bangunan parlimen. Demonstrasi itu tercetus berhubung isu gaji ahli parlimen dan pembiayaan pendidikan.

Kesan langsung dapat dilihat pada Indeks Komposit Jakarta yang susut sehingga 2.3 peratus dalam dagangan awal kejatuhan intrahari terbesar sejak 23 Jun sebelum menutup dagangan 1.3 peratus lebih rendah.

Mata wang rupiah turut menjadi mangsa jualan besar-besaran, menjunam 0.95 peratus ke paras 16,495 sedolar sebelum pulih sedikit dan diniagakan 0.8 peratus lebih rendah. Penganalisis mengaitkan pemulihan itu dengan kemungkinan campur tangan bank pusat.

Ketua jabatan monetari Bank Indonesia, Erwin Gunawan Hutapea, menegaskan komitmen pihaknya dalam memastikan kestabilan pasaran domestik, luar pesisir dan pasaran spot.

Bagaimanapun, penanda aras pasaran Jakarta masih merekodkan kenaikan 3.8 peratus sepanjang bulan ini selepas mencatat paras tertinggi sepanjang masa semalam.

"Selepas kenaikan kukuh sejak April, protes terkini memberi pelabur alasan untuk mengambil keuntungan," kata pengurus portfolio Allspring Global Investments Singapura, Gary Tan.

Di Thailand, saham merosot 0.2 peratus sementara Mahkamah Perlembagaan bersiap sedia memutuskan nasib Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dalam kes pemecatan.

Pasaran lain di rantau ini turut mencerminkan sikap berhati-hati. Saham Korea Selatan dan Filipina masing-masing jatuh 0.4 peratus serta 0.6 peratus, manakala Singapura dan Taiwan meningkat 0.4 peratus.

Dalam pasaran mata wang, penghindaran risiko kekal ketara. Peso Filipina dan won Korea Selatan susut 0.4 peratus, ringgit jatuh 0.2 peratus, manakala dolar Singapura dan Taiwan tidak berubah. Rupee India pula mencatat paras terendah baharu.

Bank pusat Filipina semalam menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas seperti dijangka, namun memberi isyarat kitaran pelonggaran mungkin berakhir.

Sementara itu, indeks dolar AS naik 0.2 peratus pada Jumaat, tetapi melemah dua peratus minggu ini berikutan jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah Fed.

Menurut penganalisis Barclays, kebanyakan mata wang Asia berprestasi lebih lemah daripada ramalan, mendorong beberapa bank pusat campur tangan untuk mengawal pergerakan nilai.

Secara keseluruhan, indeks mata wang pasaran baharu muncul MSCI naik 0.2 peratus minggu ini, manakala ekuiti Asia sedang membangun di luar Jepun kekal hampir tidak berubah. – Reuters

 

+ - reset