Berita Dunia
Korban kebakaran terburuk di Hong Kong cecah 94 orang
HONG KONG 28 Nov - Angka korban akibat kebakaran besar yang melanda Hong Kong meningkat kepada sekurang-kurangnya 94 orang, menjadikannya tragedi kebakaran paling buruk di bandar itu dalam beberapa dekad.
Api dilaporkan hampir dipadamkan sepenuhnya, manakala pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari mangsa di blok kediaman yang hangus terbakar bagi mengesan puluhan individu yang masih dilaporkan hilang.
Awal pagi Jumaat, pihak berkuasa memaklumkan kebakaran itu berjaya dihadkan kepada empat blok daripada hampir 2,000 unit di kompleks pangsapuri terbabit, lebih 24 jam selepas api pertama kali tercetus di kawasan yang menempatkan lapan bangunan itu.
Sekurang-kurangnya 76 orang cedera, termasuk 11 anggota bomba, menurut jurucakap kerajaan. Bagaimanapun, jumlah individu yang masih hilang belum dikemas kini sejak awal Khamis.
Wartawan AFP di lokasi melaporkan api di Wang Fuk Court semakin lemah, namun percikan api dan asap tebal masih kelihatan sekali-sekala keluar dari struktur bangunan.
Pasukan bomba terus melakukan semburan air bagi menyejukkan bangunan bagi mengelakkan bara api daripada kembali menyala.
Siasatan turut dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian yang disifatkan sebagai paling buruk dalam hampir 80 tahun itu, termasuk meneliti kewujudan perancah buluh dan jaring plastik yang melitupi bangunan sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian besar.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong memaklumkan siasatan turut dijalankan terhadap kerja pengubahsuaian di kompleks berkenaan, hanya beberapa jam selepas polis menahan tiga lelaki yang disyaki cuai meninggalkan bahan pelapik di lokasi kebakaran.
Penduduk Wang Fuk Court di daerah Tai Po memberitahu AFP bahawa mereka tidak mendengar sebarang penggera kebakaran dan terpaksa mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi memberi amaran kepada jiran mengenai bahaya itu.
Daripada 94 mangsa yang disahkan maut setakat jam 6 pagi waktu tempatan, seorang ialah anggota bomba berusia 37 tahun manakala dua lagi adalah pekerja domestik warga Indonesia.
Namun, angka korban dijangka terus meningkat selepas Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, memaklumkan pada awal Khamis bahawa 279 individu masih belum dapat dikesan.
Pihak bomba kemudian menjelaskan bahawa sebahagian daripada individu terbabit sudah berjaya dihubungi, namun angka terkini masih belum diumumkan secara rasmi.
Sekurang-kurangnya 12 mangsa berada dalam keadaan kritikal, manakala pihak hospital melaporkan 28 lagi cedera parah. – AFP
Berita berkaitan
July 31, 2026, 11:25 am
Kerajaan Sepanyol arah tentera kawal ratusan migran berenang dari Maghribi ke Ceuta
July 30, 2026, 11:53 am
CCTV rakam kucing kesan gempa bumi lebih awal di Jepun
July 29, 2026, 5:54 pm
Ahli politik Kanada dikecam lepas baca arahan AI masa sidang dewan
July 28, 2026, 6:23 pm
Nyaris dibawa arus, aksi 'heroic' pengawal pantai selamatkan nyawa kanak-kanak dipuji ramai
July 28, 2026, 3:47 pm
Remaja 15 tahun ditahan susulan insiden tembakan di 'food fest'
July 27, 2026, 8:05 pm
'Tak sangka jadi macam ini', aisbeg gergasi terbalik depan mata
July 27, 2026, 11:15 am
Rupiah susut teruk akibat konflik Asia Barat, Gabenor Bank Indonesia letak jawatan lebih awal
July 26, 2026, 8:12 pm
Tiada rakyat Malaysia terjejas di Berlin
July 26, 2026, 4:15 pm
Trump arah tentera AS tangguh serangan ke atas Iran
July 26, 2026, 1:03 pm
