TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPN Pulau Pinang pertimbang cuti rehat khas untuk guru wanita dikelar suami

By
|
Kongsi
image

GEORGETOWN 2 Sept. - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang akan berbincang dengan pihak sekolah bagi mempertimbangkan pemberian cuti rehat kepada guru wanita yang cedera akibat dikelar suaminya dalam kejadian di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, minggu lalu.

Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohammad Dziauddin Mat Saad, berkata guru berusia 28 tahun itu kini masih bercuti sakit dan pihaknya tidak bercadang menempatkan mangsa di sekolah lain.

“Buat masa ini, guru berkenaan masih bercuti sakit dan kita akan berbincang dengan pihak sekolah bagi menyambung cuti sebagai cuti rehat.

“Guru itu akan terus mengajar di sekolah sama seperti biasa kerana kita bimbang sekiranya ditukar ke sekolah lain, dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Guru-guru di sekolah berkenaan juga sedia maklum dengan situasi yang menimpa rakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serahan Koleksi Buku Latihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Program Jom Membaca Bersama-sama Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 (TKM1), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung, hari ini.

Mohammad Dziauddin turut memaklumkan pasukan kaunseling JPN sudah dihantar bagi memberikan sokongan psikologi kepada mangsa, dan perkembangan kesihatannya kini dilaporkan positif.

“Difahamkan hari ini guru itu mendapat rawatan susulan di hospital,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan guru wanita berkenaan cedera di leher selepas dikelar suaminya yang juga seorang guru, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi pada 27 Ogos lalu.

Kejadian itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya.

Suspek kemudian mengelar leher dan pergelangan tangan kirinya sendiri. Lelaki berusia 30 tahun itu kini direman sehingga 4 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - Media Telus

+ - reset